Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Pengusaha PKS terus diperkasa
Pengusaha PKS terus diperkasa
by Jessica Jawing. Posted on June 23, 2012, Saturday
KUCHING: Kementerian Pembangunan Perindustrian akan mengadakan empat program secara serentak khasnya kepada pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada 27 Jun ini bertempat di Dewan Suarah Samarahan.
Menterinya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, salah satu programnya adalah meneroka peluang dalam sektor perdagangan dan perindustrian Samarahan, iaitu Seminar Perdagangan dan Perindustrian.
Menurut beliau seminar bertemakan ‘Penggerak Sektor Perindustrian dan Perniagaan di Alaf Baru’ itu berobjektifkan menyebar informasi mengenai peluang perniagaan, bantuan kewangan dan pinjaman, kemudahan infrastruktur serta program dan kemudahan terkini.
“Seminar di Samarahan ini merupakan siri ketiga yang diadakan selepas pertama di Lawas pada 24 Mac 2012 serta siri kedua di Mukah pada 29 Mei lalu dan kedua-duanya mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta.
“Sementara di Samarahan ini sebanyak lapan kertas kerja akan dibentangkan oleh agensi kerajaan berkaitan peluang perniagaan, perkhidmatan yang ditawarkan, bantuan kewangan, peluang pelaburan di pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” katanya pada sidang media di Wisma Sumber Alam di sini, semalam.
Menurut beliau lagi, penganjuran seminar tersebut menyasarkan seramai 600 orang peserta dan penyertaan adalah percuma.
Sementara itu, program kedua yang diadakan serentak dengan seminar adalah pameran barangan atau produk dan perkhidmatan keluaran yang disediakan PKS di negeri ini, yang membolehkan para peserta mendapat maklumat tentang inisiatif serta khidmat nasihat dan sebagainya.
“Selain itu program ketiga, majlis pelancaran Minggu PKS peringkat Wilayah atau Negeri, di mana kerajaan telah meluluskan cadangan bagi mengadakan Minggu PKS pada minggu keempat pada bulan Jun setiap tahun bermula tahun ini di seluruh negara.
“Dengan itu ia mampu menjadi wadah untuk mempamerkan produk serta perkhidmatan daripada PKS serta memupuk kesedaran tentang produk dan perkhidmatan PKS selain memupuk budaya keusahawanan,” ujarnya.
Beliau dalam itu memberitahu mengikut Bancian Jabatan Statistik pada tahun 2011, Sarawak kini mempunyai 60,000 PKS daripada perniagaan sedia ada berbanding bancian 2005 iaitu kira-kira 33,000 PKS atau 98 peratus.
PKS merupakan komponen penting bagi memacu ekonomi Malaysia dan berpotensi sebagai jentera utama pertumbuhan dan inovasi, kata beliau.
Awang Tengah berkata, satu lagi program yang turut diadakan pada masa yang sama adalah, majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara SME Bank Berhad dan kerajaan negeri yang diwakili Kementerian Pembangunan Perindustrian.
“Di bawah kolaboratif ini SME Bank akan menyediakan pakej insentif istimewa kepada PKS di Sarawak khususnya yang telah mendapat kelulusan permit pengilang daripada Jawatankuasa Penyelaras Industri Negeri (ICC) atau surat sokongan Kementerian Pembangunan Perindustrian,” ujarnya.
Beliau menambah, kerjasama strategik itu akan memberi nilai tambah kepada permit ICC atau surat sokongan kementerian dan ia akan menggalakkan lebih banyak PKS yang kini beroperasi tanpa permit ICC.
“Bagi program pada tahun ini, ia diadakan secara sederhana kerana tempoh masa yang diberikan agak dekat dan pada tahun depan kita mungkin mengadakan kepada skala lebih besar dengan membuat persiapan lebih awal,” tegasnya.
Hadir sama Menteri Muda Pembangunan (Pembangunan Estet Perindustrian) Datuk Peter Nansian Ngusie dan Menteri Muda (Pelaburan dan Promosi) Julaihi Narawi.
<< Previous Entry - Next Entry >>
Advertisement





