Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Dr Rayong seru penduduk Lubok Antu tolak SWP

Dr Rayong seru penduduk Lubok Antu tolak SWP

Posted on June 24, 2012, Sunday

ENGKILILI: Penduduk di kawasan Parlimen Lubok Antu digesa agar tidak menerima kehadiran parti pembangkang terutamanya Parti Pekerja Sarawak (SWP) di rumah panjang mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata, ini berikutan rakyat luar bandar masih memerlukan pembangunan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, tuai-tuai rumah di kawasan itu perlu memainkan peranan untuk menasihati penghuni rumah panjang masing-masing agar tidak melayan kerenah mana-mana parti pembangkang yang ingin mengajak mereka menentang BN.

“Jika SWP datang ke rumah panjang anda, katakan kepada mereka (SWP) kehadiran rombongan parti anda tidak diperlukan memandangkan semua penduduk rumah panjang masih menyokong kerajaan BN pada masa ini,” katanya.

Dr Rayong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 2012 di Rumah Melina, Merio di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, Dr Rayong mewakili Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada beberapa rumah panjang di sekitar perkampungan Merio.

Selain itu, beliau juga mahu penduduk luar bandar sedar bahawa BN masih amat diperlukan oleh mereka demi membolehkan projek pembangunan seperti bekalan elektrik 24 jam, jalan raya, bekalan air dan sebagainya disalurkan.

“SWP tidak boleh memberikan anda projek seperti itu melainkan BN, lantaran itu saya menyeru semua penduduk luar bandar untuk terus menyokong teguh BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang,” katanya.

Print Friendly

Advertisement

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.