Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - Gempa bumi: Pelajar Malaysia selamat

Gempa bumi: Pelajar Malaysia selamat

Posted on June 24, 2012, Sunday

Kejadian berkekuatan 6.6 skala Richter gegar Sumatera Utara dan Aceh pagi semalam

JAKARTA: Semua pelajar Malaysia di Medan, Sumatera Utara dan Aceh, Indonesia dilaporkan selamat dalam kejadian gempa bumi berkekuatan 6.6 pada skala Richter yang berlaku di Aceh Selatan pada pagi semalam.

Semasa kejadian pada jam 11.34 pagi waktu tempatan itu, mahasiswa Malaysia di Medan yang sedang menduduki peperiksaan bergegas keluar dari dewan peperiksaan ke kawasan lapang Universiti Sumatera Utara (USU).

Gegaran gempa bumi itu dirasakan di kawasan Medan kerana kedudukannya yang bertentangan dengan pusat gempa yang berlaku di 127 km barat daya Medan dan 1,417 km barat laut Jakarta itu.

Pengarah Education Malaysia (EM)(dulu Jabatan Penuntut Malaysia) Indonesia, Prof Madya Dr Juzhar Jusoh berkata sehingga kini belum ada sebarang laporan mengenai kecederaan atau kerosakan harta benda yang melibatkan mahasiswa Malaysia.

Sementara itu pelajar-pelajar Malaysia di Aceh langsung tidak merasai gegaran gempa bumi itu kerana kedudukan mereka jauh dari pusat gempa.

Mengikut rekod daftar EM Indonesia, ada seramai 1,535 pelajar Malaysia di Medan dan 62 orang di Aceh.

Pihak EM Indonesia dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Konsul Jeneral Malaysia di Medan terus memantau keadaan para pelajar kedua-dua kawasan itu berikutan gempa bumi yang terbaru itu.

Pihak berkuasa Indonesia tidak mengeluarkan amaran tsunami dalam kejadian gempa bumi itu. — Bernama

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.