Jawatankuasa Kajian Semula Pendidikan dijangka umum rumusan dua bulan lagi

0

KOTA BAHARU: Jawatankuasa Kajian Semula Pendidikan dijangka selesai membuat kajian ke arah penambahbaikan mutu pendidikan negara dalam tempoh dua bulan lagi, kata pengerusi panel Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

Katanya, kajian itu akan mula dilakukan selepas anggota panel yang dilantik menganggotai DNPN itu selesai menjelajah ke seluruh negara bagi mengumpul cadangan daripada orang ramai.

“Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 ini dijangka selesai membuat penjelajahan ke seluruh negara pada 14 Julai ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup dialog tersebut peringkat negeri Kelantan di sini semalam.

Lebih 1,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuk guru, bekas guru dan golongan profesional dari seluruh negeri ini menyertai dialog tersebut.

Dr Wan Mohd Zahid berkata seramai 12 anggota panel dilantik oleh Kementerian Pelajaran untuk mengumpul cadangan orang ramai dari setiap negeri yang dijelajahinya.

“Setakat ini hanya dua negeri yang masih belum mengadakan program berkenaan iaitu Terengganu dan Johor,” katanya.

Katanya, melalui dialog itu anggota panel akan mengumpul semua cadangan yang dikemukakan oleh peserta dan ia akan dibawa ke peringkat jawatankuasa penilai di kementerian berkenaan.

“Selepas itu kita ambil masa mungkin Julai atau Ogos depan kita akan mula buat rumusan untuk dikemukakan ke peringkat atasan,” katanya.

Pada majlis dialog semalam, lebih 24 peserta memberi cadangan untuk penambahbaikan mutu pelajaran negara pada masa depan.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah supaya kerajaan mewajibkan mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, iaitu selaras dengan langkah kerajaan memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuhkan bahasa Inggeris.

Cadangan lain ialah supaya mata pelajaran agama Islam diajar secara lebih serius sehingga melepasi garis mata pelajaran itu bagi melahirkan modal insan bersahsiah tinggi, ini selaras dengan matlamat pembelajaran sepanjang hayat ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. — Bernama