Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Kreativiti, inovasi boleh disuburkan menerusi pelbagai konsep: Putit

Kreativiti, inovasi boleh disuburkan menerusi pelbagai konsep: Putit

Posted on June 24, 2012, Sunday

KUCHING: Kreativiti dan inovasi yang dipraktikkan oleh masyarakat sejagat boleh disuburkan menerusi pelbagai konsep dan aplikasi hikmah.

Presiden Majlis Islam Sarawak (MIS), Datu Putit Matzen berkata masyarakat perlu memahami bahawa tokoh-tokoh ilmuan yang berjaya telah memiliki daya kreativiti yang tinggi.

Justeru, katanya, dalam konteks semasa kreativiti dan inovasi amat penting bagi masyarakat untuk berjaya tetapi bukan kerana keilmuaannya malah keberanian mereka berinovasi.

“Kreativiti dan inovasi merupakan satu anugerah yang tidak ternilai kerana manusia yang memiliki daya kreativiti tinggi mampu menggapai kejayaan mereka,” katanya berucap melancarkan Festival Kreativiti dan Inovasi Islam Sarawak 2013 di Dewan Serbaguna MIS, di sini malam kelmarin.

Putit menarik perhatian dengan adanya keupayaan berkreativiti dan inovasi dapat membolehkan masyarakat menghasilkan idea-idea dan ciptaan yang terbaik.

Malah, katanya, dengan ciptaan dan kreativiti serta inovasi yang tinggi masyarakat kita mempunyai misi jauh dalam mencapai kemajuan di dunia dan akhirat.

“Saya yakin dengan memiliki kreativiti dan inovasi, masyarakat kita mampu mencipta kejayaan yang cemerlang, justeru memudahkan pelbagai urusan harian,” katanya.

Putit menambah sekitar abad kelapan hingga ke-13 bukan sebagai merupakan zaman kegemilangan tamadun Islam, namun mempunyai idea-idea baharu yang memberi manfaat.

“Kita percaya kreativiti dan inovasi merupakan satu kejayaan yang terbaik bagi masyarakat zaman sekarang sejajar dengan kepesatan sains dan teknologi,” katanya.

Festival anjuran Pusat Penerangan Islam Sarawak (IIC) itu bertujuan mempersembahkan hasil-hasil kreativiti dan inovasi Islam yang merangkumi pelbagai aspek seperti seni lukis, kraf tangan, muzik, filem, produk serta perkhidmatan inovatif dan sebagainya.

Turut memeriahkan majlis pelancaran festival itu ialah persembahan Orkestra Simponi UNIMAS – Lagu IIC ‘One Belief,’ lagu medley Maher Zain dan lagu Doa (karya Zubir Ali).

Selain itu, persembahan artis jemputan dari Kuala Lumpur, Mu’adz Dzulkefly seorang artis nasyid kontemporari yang membawa beberapa buah lagu dalam bahasa Arab, Melayu, Cina dan Tamil.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.