Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Musa minta JKR buat kajian

Musa minta JKR buat kajian

Posted on June 24, 2012, Sunday

Untuk atasi masalah jalan Kampung Tebobon, Menggatal

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan kajian untuk mengatasi masalah kesesakan jalan di Kampung Tebobon, Menggatal dekat sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, berkata bantuan daripada JKR itu bagi memudahkan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon dan seterusnya penduduk kampung berkenaan.

Menurutnya, kajian untuk melebarkan jalan raya di kawasan itu bukan sahaja sebagai kemudahan pihak sekolah, malah kepada warga Kg Tebobon yang tinggal berdekatan kawasan sekolah.

“Selain itu, saya juga akan meminta salah satu agensi kerajaan negeri untuk membiayai pembinaan dewan tertutup di sekolah ini.

“Ia juga bagi melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi berkenaan terhadap SMK Tebobon,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 SMK Tebobon kelmarin.

Beliau berkata, selagi ada kemudahan, kerajaan akan sentiasa berusaha untuk membantu bagi meningkatkan pembangunan pendidikan di negeri ini.

Musa berkata, menerusi kerjasama tiga kombinasi daripada guru, pelajar dan ibu bapa, ia mampu mencipta satu hubungan baik untuk mencapai kemajuan sekolah.

“Saya lihat pencapaian pengurusan yang baik di sekolah ini juga menghasilkan banyak kejayaan trutamanya kepada para pelajar.

“Kejayaan yang diperolehi adalah hasil kerjasama baik semua pihak dan saya tertarik dengan cara pengendalian pengurusan sekolah ini,” katanya.

Jelasnya, dalam usaha untk melahirkan lebih ramai pelajar yang berjaya dan memiliki prestasi baik, kerjasama berkenaan perlu diteruskan.

Tambahnya, kerajaan sentiasa memandang serius terhadap pembangunan pelajar dan dengan adanya sokongan serta keprihatinan kerajaan, ia pasti membawa kepada kegemilangan sekolah.

Sementara itu, Pengetua SMK Tebobon, Loh Kok Cheang berkata, sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, pelbagai pengiktirafan berjaya diperolehi SMK Tebobon.

Beliau berkata, antara pengiktirafan itu termasuklah Guru Inovatif Berkumpulan sempena Hari Guru Negeri Sabah 2010; johan pertandingan Kantin Bersih peringkat negeri 2011 dan naib johan Kantin Bersih peringkat Kebangsaan 2012; Anugerah Cemerlang Pengurusan Sukan dan Kokurikulum (Kokum) Hari Guru peringkat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Kinabalu 2012.

“SMK Tebobon juga meraih Anugerah Cemerlang Kepimpinan Sukan dan Kokum PPD KK 2012 dan Anugerah Cemerlang Pusat Sumber Sekolah Menengah PPD KK 2012.

“Kami juga baru menerima surat makluman yang mengiktiraf Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tebobon sebagai PIBG Cemerlang kategori Sekolah Menengah Bandar anjuran Jabatan Pelajaran Negeri (JPN),” jelasnya.

Loh berkata, pihaknya turut menggubal pelan strategik ‘Beyond School Improvement’ (Best) yang diilhamkan oleh Pengarah Pelajaran Negeri, Datuk Dr. Muhiddin Yusin.

Katanya, pelan berkenaan untuk membantu JPN merealisasikan rancangan strategik pendidikan Sabah.

 

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.