Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Negara perlu hormati Dasar ASEAN
Negara perlu hormati Dasar ASEAN
by Rusnan Mustafa. Posted on June 24, 2012, Sunday
Usah campur tangan dalam hal ehwal negara anggota termasuk politik
KUCHING: Setiap negara di rantau ini perlu menghormati Dasar ASEAN agar tidak berlaku pertelagahan antara negara.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, menerusi dasar itu, setiap negara perlu menghormati antara satu sama lain tanpa berlakunya campur tangan dalam apa jua perkara di negara lain termasuk politik.
“Dasar ASEAN ini jelas supaya setiap negara anggotanya tidak terlibat dalam politik dalam negara anggota lain… dan konsep falsafah pembangunan ASEAN amat jelas bahawa anggotanya tidak boleh masuk campur dengan apa sahaja yang berlaku dalam negara anggota lain.
“Sebagai contoh, pertumpahan darah di Selatan Thailand dan Filipina walaupun melibatkan orang Islam dan sebagainya, kita Malaysia tidak masuk campur, apa yang kita buat adalah membantu mereka (menerusi sumbangan kebajikan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai campur tangan Singapura dalam arena politik di negara ini semasa ditemui selepas merasmikan penangguhan Seminar Jentera Pilihan Raya BN DUN Pantai Damai di sini, semalam.
Tambahnya, dasar itu seharusnya diguna pakai semua pihak termasuk parti politik di dalam negara tersebut bagi mengekalkan keharmonian dalam kalangan negara-negara ASEAN.
“Dalam keadaan sedemikian, saya menasihati agar pihak di Singapura supaya jangan masuk campur dengan apa yang berlaku dalam kerajaan Malaysia.
“Malah, saya menyeru pihak kerajaan Malaysia dan Kementerian Luar Negeri supaya membuat protes jika ada bukti-bukti nyata bahawa Singapura terlibat secara langsung dalam apa yang berlaku di negara ini,” tegasnya.
Terdahulu, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, jentera parti BN di kawasan itu siap sedia untuk menggempur dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
“Seminar ini amat berguna bagi setiap ahli parti untuk menambah ilmu dalam mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya yang akan diadakan bila-bila masa.
“Justeru, saya berharap kita semua terus berjuang untuk mempertahankan kerajaan BN di peringkat pusat pada PRU13 nanti kerana kita tidak mahu ia diambil alih oleh parti lain (pembangkang),” katanya.
Sementara itu, ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sebanyak empat kertas kerja dibentangkan pada seminar sehari itu.
Jelasnya, kertas kerja itu merangkumi penerangan tentang pindaan undang-undang dan peraturan baharu dalam pilihan raya.
Selain itu, beliau turut mendedahkan bahawa jentera BN di kawasan Pantai Damai kini mempunyai keahlian hampir 13,800 ahli.
“Oleh itu, kita yakin mampu mempertahankan kerajaan BN agar terus memerintah di negara ini,” ujarnya.
<< Previous Entry - Next Entry >>



