Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - Penutupan longkang punca pembiakan nyamuk aedes, kata Liow

Penutupan longkang punca pembiakan nyamuk aedes, kata Liow

Posted on June 24, 2012, Sunday

BENTONG: Tindakan orang ramai yang menurap atau menutup keseluruhan longkang di kediaman mereka terutamanya di kawasan perumahan, dilihat punca peningkatan pembiakan nyamuk aedes.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata, tindakan sedemikian menyebabkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sukar melakukan kerja-kerja pembersihan longkang.

“Ramai penduduk kawasan perumahan menghidap demam denggi akibat jangkitan nyamuk aedes kerana longkang-longkang rumah mereka menjadi sarang pembiakan nyamuk tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Janda Baik anjuran bersama Pemuda UMNO Bentong dan Persatuan Belia Kampung Janda Baik, di sini semalam.

“Setiap tahun purata kira-kira 120 kematian akibat demam denggi, semua pihak perlu sama-sama bertanggungjawab dalam menangani pembiakan nyamuk berkenaan,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar PBT mengadakan peraturan tertentu atau memberi garis panduan kepada penduduk supaya mereka tidak menutup keseluruhan longkang rumah.

“Selain air yang bertakung, sampah-sarap yang tidak diangkut mengikut jadual dalam tempoh seminggu juga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya. — Bernama

Print Friendly

Advertisement

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.