Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Perluaskan Program 1,000 Belia

Perluaskan Program 1,000 Belia

by Kepu Sidi. Posted on June 24, 2012, Sunday

Golongan belia harus diberi peluang untuk pamer bakat, kelola aktiviti

SARATOK: Program 1,000 Belia yang berjaya dilaksanakan di Parlimen Saratok bulan lepas amat wajar diperluaskan ke kawasan parlimen lain.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata, program itu dilihat mampu menyatukan golongan belia dari segenap pelosok negeri serta tempat untuk bergaul bersama, dan bekerjasama dalam menjayakan setiap program yang dirancang.

Beliau berkata, jika selama ini golongan tua selalunya diberikan tanggungjawab dalam melaksanakan sesuatu program, tetapi zaman kini semua itu harus diubah dan peluang kepada golongan muda harus dibuka untuk menunjukkan bakat dan kebolehan dalam mengelolakan sesuatu aktiviti.

“Pendekatan seperti ini akan mampu melatih golongan muda untuk membentuk kepimpinan dalam diri dan memantapkan displin dalam belia itu sendiri.

“Ini penting kerana golongan ini adalah generasi pelapis pemimpin masa depan negara dan amat wajar diberikan pendedahan awal agar persediaan dapat dibuat, bukannya di peringkat akhir.

“Bagi golongan tua pula, mereka tidak sewajarnya tersisih dengan pendekatan terbaharu ini tetapi harus rela untuk bekerjasama dan berkongsi pengalaman yang ada untuk kebaikan bersama,” katanya.

Mawan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Majlis Aman Belia di sini, malam kelmarin.

Program ini adalah gabungan antara empat komponen parti Barisan Nasional (BN) iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demo-kratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan kerjasama Kelab Rekreasi Muhibah Saratok serta beberapa persatuan tempatan.

Majlis dihadiri seramai 1,800 orang terdiri daripada golongan belia, ahli-ahli parti komponen BN serta masyarakat setempat.

Tambah Mawan, struktur politik khusus yang melibatkan komponen parti di peringkat SPDP harus disusun semula agar setiap kesilapan dan kesalahan yang lampau dapat diperbetulkan.

“Sebarang masalah, rasa ti-dak puas hati dan pertelingkahan sesama sendiri pada saat ini harus kita ketepikan dan diselesaikan dengan sebaiknya.

“Ini kerana jika pertelingkahan seperti ini diteruskan ia tidak akan membawa kita ke mana-mana, tetapi akan menyebab kita terus ketinggalan dari semua aspek,” tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat dalam ucapan alu-aluannya berkata, program itu melibatkan kerjasama di antara empat parti komponen BN.

“Aktiviti seperti ini julung kalinya diadakan dan ia berlangsung dengan jayanya. Justeru, kita berharap program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa depan.

“Objektif penganjuran program ini adalah untuk mengisi masa lapang golongan belia dengan aktiviti berfaedah dan mengelakkan mereka terlibat dengan perkara yang kurang sihat,” kata Jelaing lagi.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang majlis antaranya pentas hiburan, persembahan tarian, sukanika, jamuan makan, dan penyampaian insentif kepada pelajar cemerlang dan.

Majlis di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Syin, Saratok itu turut dihadiri oleh Ketua Puteri SPDP Kaunselor (Kr) Barbara Mawan, Ketua Putera SPDP Tony Chen, Ketua Pemuda PBB Saratok Leonard Jambu, Ketua Pemuda PRS Saratok Rolland Angking, Ketua Pemuda SUPP Kr Low Puong Hui dan Pengerusi Kelab Muhibah Saratok Ray Clement.

 

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.