Peruntukan RM36 juta untuk KKLW laksana latihan kemahiran: Hasan

0

SEREMBAN: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mendapat peruntukan khas RM36 juta daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk melaksanakan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) pada tahun ini.

Timbalan menterinya Datuk Hasan Malek berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM3.7 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“JAKOA adalah antara agensi KKLW yang menjayakan PLKK dalam usaha meningkatkan kemahiran modal insan belia Orang Asli di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Heritage Training Centre (HTC) di sini, malam kelmarin.

Katanya, kursus yang ditawarkan dalam PLKK tajaan JAKOA mendapat sambutan menggalakkan daripada belia Orang Asli kerana lepasan pelatih PLKK laris di pasaran pekerjaan.

Katanya, satu daripada pusat yang menawarkan kursus PLKK ialah HTC dan HTC yang bertempat di Seremban 2 di sini adalah sebuah pusat latihan bertauliah KKLW yang melatih belia Orang Asli dalam bidang kemahiran elektrik.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HTC Nazaruddin Abd Rahman berkata HTC menawarkan bidang kemahiran elektrik iaitu kursus juruteknik elektrik Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 1 dan 2.

Katanya, kursus ini yang disediakan percuma untuk belia Orang Asli adalah bagi tempoh enam bulan hingga setahun dan setelah tamat kursus, HTC akan membantu pelatih untuk mendapatkan pekerjaan.

Nazaruddin berkata, 80 peratus pelatih yang tamat mengikuti PLKK ini telahpun mendapat pekerjaan dan baki 20 peratus menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan ada yang terlibat sebagai usahawan.

“Kursus juruteknik elektrik yang kami tawarkan adalah kursus yang menjadi pilihan belia Orang Asli. Kursus ini merupakan kursus baru bagi mereka dan menyediakan peluang pekerjaan yang luas termasuk menjadi kontraktor elektrik dan membuat pendawaian elektrik bagi projek Program Perumahan Rakyat Termiskin Orang Asli yang sebelum ini dibuat oleh kontraktor luar,” katanya.

Pada majlis itu, Hasan turut menyampaikan sijil PLKK kepada 60 belia Orang Asli yang menamatkan kursus mereka di HTC. — Bernama