Pesara tentera perlu bijak urus wang pencen

0

BERA: Bakal pesara dan pesara tentera diingatkan supaya bijak dalam membuat pelaburan terhadap wang ganjaran dan pencen mereka supaya tidak diperdayakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika memberikan ingatan itu berkata pelbagai pihak kebiasaannya membuat tawaran dan ganjaran lumayan kepada bekas tentera supaya melaburkan wang berkenaan.

Perlu melabur dengan bijak, katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Gerak Wira Menyatu dan Memperkasakan Bekas Tentera dan merasmikan Koperasi Persatuan Bekas Tentera Bera di sini, semalam.

Dalam pada itu beliau menggesa pesara tentera supaya terus mendukung usaha-usaha yang dibuat kerajaan dalam memajukan negara dan memakmurkan rakyat di negara ini.

Beliau juga berkata, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa membela nasib mereka termasuk menyediakan pelbagai bantuan dan intensif seperti dalam bidang keusahawanan.

Turut hadir pada majlis itu Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia Datuk Abdul Ghani Mohamad. — Bernama