Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Sabah miliki khazanah pelancongan berharga
Sabah miliki khazanah pelancongan berharga
Posted on June 24, 2012, Sunday
KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun mahu semua pihak bekerjasama ke arah memajukan industri pelancongan negeri ini yang memiliki khazanah amat berharga dan tidak terdapat di tempat lain.
Sambil mempelawa pelancong dari Semenanjung dan luar negara berkunjung ke negeri ini, beliau berkata, Sabah mempunyai banyak aset pelancongan untuk ditawarkan.
Selain pelancongan berasaskan alam semulajadi, Sabah juga kaya dengan warisan senibudaya daripada pelbagai suku kaum, dan lebih penting rakyat negeri ini hidup harmoni biarpun berlainan latarbelakang dan kepercayaan.
“Keramahan rakyat negeri ini juga merupakan daya tarikan yang berharga, malahan keharmonian hidup rakyat dalam kepelbagaian ini menjadikan Sabah sebagai contoh sebenar gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Bersama Majalah Wanita dan Wawasan (WW) di sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin. Hadir sama Pengarah Eksekutif W Publication Sdn. Bhd, Datin Rahmahjan Sulaiman.
Dalam pada itu, Masidi mengajak rakyat supaya terus menyuburkan jalinan perpaduan dan keharmonian itu demi manfaat bersama.
Katanya, perbezaan pendapat mengenai sesuatu perkara sering berlaku disebabkan oleh fahaman dan ideologi yang berbeza termasuklah apabila ia membabitkan campurtangan pihak yang berkepentingan.
“Ketika belajar dan tinggal di Semenanjung dahulu, saya melihat dan belajar banyak perkara, tetapi yang jelas bahawa keharmonian yang ada di negeri ini jauh berbeza berbanding tempat lain, dan inilah kelebihan negeri ini,”
katanya.
Sempena majlis itu turut diadakan pertunjukan fesyen beberapa rekaan terbaru Rahmahjan yang dipertontonkan oleh peragawati-peragawati.
<< Previous Entry - Next Entry >>



