Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - Veteran ATM tidak pernah dipinggirkan, kata Zulkiflee

Veteran ATM tidak pernah dipinggirkan, kata Zulkiflee

Posted on June 24, 2012, Sunday

KEMAMAN: Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia tidak pernah meminggirkan golongan veteran ATM termasuk mereka yang tidak menyertai mana-mana persatuan, kata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan.

Beliau bagaimanapun berharap veteran ATM berdaftar dengan mana-mana persatuan bekas tentera bagi memudahkan bantuan disalurkan.

“Kalau mereka tidak berdaftar dan mereka juga tidak berpersatuan, kita tidak akan tahu di mana mereka berada dan sukar bagi kita untuk menyalurkan bantuan,” katanya dan beliau berharap veteran ATM yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM supaya mengemaskinikan data mereka supaya senang untuk dihubungi atau dibantu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 25 veteran ATM Terengganu yang telah berkhidmat semasa darurat pertama pada 1959 hingga 1989 dan darurat kedua pada 1969 hingga 1990, di sini semalam.

“Selain mendapat pencen dan ganjaran yang merupakan faedah perkhidmatan, veteran ATM juga diberikan bantuan sara hidup, bantuan anak masuk ke universiti, bantuan anak-anak sekolah, khairat kematian dan yang paling istimewa bantuan perubatan sepenuhnya sama ada veteran berpencen atau tidak,” katanya.

Katanya, sehingga kini seramai 3,800 veteran ATM menerima bantuan sara hidup di seluruh negara dan ia dijangka meningkat kapada 4,000 hingga akhir tahun ini.

Zulkiflee berkata terdapat 301,000 orang veteran ATM di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 100,685 merupakan veteran ATM berpencen.

Mengenai penganugerahan PJM yang dimulakan sejak 2007 sempena 50 tahun kemerdekan negara, Zulkiflee berkata, sehingga ini seramai 7,000 orang telah dianugerahi pingat itu.

Sementara itu seorang veteran berpangkat Lans Koperal, Ali Abu Bakar, 65, melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada kerajaan kerana golongan veteran ATM tidak dipinggirkan walaupun telah lama tamat perkhidmatan.

“Walaupun kita sudah lama pencen, tetapi pengorbanan kita masih lagi dikenang oleh pihak atas,” katanya yang berkhidmat sebagai polis tentera selama 22 tahun. — Bernama

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.