Bentuk masyarakat sihat

0

BERJIWA RAKYAT: Taib menghayun buaian yang dinaiki dua kanak-kanak ketika melawat acara-acara yang dianjurkan sempena Program Komuniti MBKS di Kuching semalam. Turut kelihatan James Chan (kanan) dan Hanifah (dua kanan).

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini memanfaatkan tanah-tanah kosong di kawasan perumahan dengan mewujudkan taman-taman rekreasi dan riadah untuk masyarakat.

Menerusi cara ini, beliau yakin ia mampu membentuk masyarakat yang aktif serta mengubah bentuk kehidupan masa kini yang mementingkan kekayaan berbanding kebahagiaan.

“Terdapat banyak tanah kosong di kawasan perumahan dan kediaman yang boleh dibangunkan oleh PBT kita bagi tujuan taman rekreasi dan sebagainya untuk kegunaan masyarakat.

“Daripada tanah-tanah ini terbiar tanpa jagaan, lebih baik ia digunakan untuk perkara-perkara seperti ini, yang amat digalakkan dan disokong oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas upacara perasmian Program Komuniti Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di Taman Kejiranan Tabuan Jaya di sini semalam.

Turut hadir isteri beliau Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Muda Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin, Menteri Muda Khidmat Masyarakat Datuk Peter Nansian, Datuk Bandar MBKS James Chan serta Pengerusi Bersama Program Datin Hanifah Hajar-Alsree Taib.

Terdahulu dalam ucapannya Taib berkata kekayaan yang dinikmati oleh setiap rakyat di negeri ini pada masa kini tidak membawa makna jika kehidupan yang dilalui tidak gembira dan bahagia.

Justeru beliau sekali lagi menggesa PBT di negeri ini memainkan peranan mereka dengan menganjurkan aktiviti dan program yang dapat menarik penglibatan aktif setiap masyarakat di negeri ini.

“Tarik golongan muda untuk bercampur sekerap mungkin dalam masyarakat serta wujudkan aktiviti-aktiviti yang dapat menghapuskan sifat-sifat individu yang cenderung untuk bersendirian.

“Jika kita dapat menarik semua masyarakat untuk berdamping bersama secara tidak langsung kita akan mewujudkan sebuah masyarakat yang sihat,” katanya.

Menyentuh mengenai majlis tersebut, Taib yang menyambut baik usaha ini berharap agar lebih banyak program seperti ini akan diadakan oleh setiap PBT di negeri ini dengan penglibatan semua masyarakat.

Beliau turut yakin kejayaan penganjuran program-program seperti ini membuktikan kerajaan berjaya menguruskan kewangan dengan baik untuk disumbangkan semula kepada masyarakat.

Pada majlis itu Taib turut menyampaikan sijil kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang paling aktif dalam Program Komuniti MBKS 2012.

Sebelum meninggalkan majlis, Taib dan isteri serta tetamu-tetamu jemputan lain turut melawat ke gerai-gerai dan acara-acara yang dianjurkan di sekitar Taman Kejiranan Tabuan Jaya.