Layang-layang Emong ciptaan anak Bintulu tembusi pasaran AS, Eropah

0

UNIK DAN LARIS: Emong sedang diterbangkan oleh Victor di hadapan pengunjung serta ahli-ahli BKF di tapak lapangan terbang lama semalam.

BINTULU: Satu ciptaan layang-layang unik dikenali sebagai Emong oleh anak tempatan Bintulu yang juga ahli jawatankuasa Bintulu Kite Flyers (BKF) telah membawa nama Bintulu dan ciptaannya itu dikenali di seluruh dunia terutama di Amerika Syarikat dan Eropah.

Nama `Emong’ adalah dialek vaie yang bermaksud belangkas iaitu sejenis hidupan laut yang hidup di air masin dan sedikit di paya air tawar. Pengambilan nama itu melihat kepada rupa bentuk layang-layang tersebut seperti belangkas.

“Emong bukan sahaja dapat diterbangkan di kawasan luar bangunan bahkan dalam dewan atau ruang bangunan yang sempit kerana layang-layang ini diperbuat daripada nilon dan bahan ringan yang senang untuk diterbangkan,” kata pencipta Emong, Victor Kang Tai Hin semasa ditemui sempena Pesta Gudi Sarawak Edisi Ke-4 2012 di tapak lapangan terbang lama semalam.

Berikutan layang-layang ciptaannya amat dikenali di luar negara Victor berkata, sebelum menempah kejayaan itu pihaknya telah mengadakan strategi pemasaran selama tiga tahun terutama ke negara Eropah dan Amerika Syarikat.

Sementara itu Victor turut menunjukkan demonstrasi cara-cara memasang Emong dan menerbangkan layang-layang tersebut di hadapan pengunjung yang hadir di tapak pesta tersebjut.

Dalam pada itu Ahli Jawatankuasa BKF Sia Jau Ren berkata, layang-layang itu telah dicipta pada 2008.

“Banyak prototaip layang-layang telah kami buat. Pembuatannya bermula dengan hanya menggunakan batang buluh sahaja.

“Selepas itu kami hantar spesifikasi pembuatan itu kepada seorang rakan di Taiwan untuk membuatnya sehinggalah projek itu berjaya hari ini,” katanya.

Sia berkata, kesemua bahan untuk pembuatan layang-layang itu adalah dari Taiwan dan Flying Wings Amerika Syarikat.

“Setakat ini layang-layang itu diminati di Eropah dan yang paling banyak dijual di Amerika Syarikat dengan harga antara AS$80 hingga AS$90,” katanya.