Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Kemalangan pergi dan balik tempat kerja serius

Kemalangan pergi dan balik tempat kerja serius

by YAP SIONG HANsionghan_yap@yahoo.com. Posted on June 27, 2012, Wednesday

KOTA KINABALU: Kemalangan jalan raya yang berlaku ketika dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja semakin serius di negara ini.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye berkata walaupun kemalangan yang berlaku di tempat kerja di Malaysia semakin menurun tetapi kemalangan berlaku dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja harus diberikan perhatian yang serius.

“Negara kita mencatat penurunan dalam kes kemalangan di tempat kerja iaitu 10.3 kes untuk 1,000 pekerja pada tahun 1997 kepada 5.72 kes bagi 1,000 pekerja pada tahun 2010.

“Namun angka itu masih tinggi jika dibandingkan dengan tiga hingga empat kemalangan bagi setiap 1,000 pekerja yang dicatat di negara maju lain.

“Walau bagaimanapun, kes kemalangan yang berlaku ketika dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja semakin meningkat ke tahap yang sangat membimbangkan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan 2012 di sini kelmarin.

Beliau berkata, angka kemalangan berlaku dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja pada tahun 2007 ialah 17,682, 2008 sebanyak 19,041, 2009 sejumlah 20,810 dan tahun lalu 24,890.

Sebelum itu dalam ucapan perasmiannya, Lee menyeru kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta majlis daerah dan PBT di seluruh Sabah untuk kerap mengadakan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaaan.

“Jika majikan berjaya membawa pekerjanya untuk mengamalkan budaya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, saya yakin sebarang kemalangan yang tidak diingini boleh dielakkan.

“Keselamatan dan kesihatan pekerjaan ini termasuklah di sektor awam dan swasta berdasarkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Itu adalah kewajiban di bawah undang-undang itu yang menyatakan mana-mana syarikat yang mempunyai seramai 40 orang pekerja ke atas adalah wajib mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerjanya,” katanya.

Menurutnya, PBT memainkan peranan penting dalam negara kerana banyak kakitangannya terlibat dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat tempatan.

Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Mayor Bandaraya, Datuk Abidin Madingkir.

Print Friendly

Advertisement

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.