Skuad basikal sasar dua emas

0

SEDIA MENCABAR: Gambar fail menunjukkan Dzulkaflee (kiri) bersama-sama dengan barisan pelumba basikal Sukma Sarawak.

Sarawak sandarkan harapan kepada acara ujian masa individu, berpasukan wanita

KUCHING: Skuad lumba basikal Sarawak mensasarkan dua pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XV yang bakal berlangsung di Kuantan, Pahang dari 7 hingga 16 Julai depan.

Jurulatih Dzulkaflee Hassan berkata sasaran tersebut diletakkan dalam acara ujian masa individu dan berpasukan wanita berdasarkan keputusan memberangsangkan yang dicatat dalam beberapa siri perlumbaan ujian di Semenanjung Malaysia.

“Kita meletakkan sandaran terhadap Nurazimah Abdul Rashid dalam acara ujian masa individu untuk meraih emas. Kita juga mengharapkan emas dalam acara ujian masa berpasukan wanita,” demikian menurut Dzulkaflee ketika dihubungi oleh Utusan Borneo semalam.

Nurazimah menduduki tempat ketiga dalam Kejohanan Lumba Basikal Lebuh Raya Kebangsaan GP Sirkit ke-2 di Tok Bali, Kelantan baru-baru ini dan tempat kedua pada perlumbaan di Perak bulan lepas.

“Saya optimis jika beliau (Nurazimah) mengekalkan pencapaian sebegini, tidak mustahil baginya menggondol pingat emas,” tambah Dzulkaflee lagi.

Nurazimah turut bertanding dalam acara ujian masa berpasukan bersama-sama dengan Coreline George, Rosnina Minggu dan Aina Zafira. Coreline dan Nur Azrenna turut bersaing dalam acara basikal bukit.

Dalam pada itu, Dzulkaflee turut yakin dengan kemampuan peserta lelaki untuk menyumbang lebih banyak pingat bagi skuad berbasikal di Kuantan kelak.

Pemenang pingat perak di Melaka pada 2010, Wong Tak Fok sekali lagi bakal menggalas cabaran skuad negeri bagi memungut pingat dalam tiga acara.

Beliau bakal bersaing dalam acara individu dan berpasukan ujian masa dan lebuh raya di Pahang nanti.

Selain itu, Addy Amin Shariman Othman dan pelumba muda berusia 14 tahun, Alex Dessy turut menjanjikan harapan pingat dalam acara basikal bukit lelaki.

Sarawak akan menghantar enam pelumba lelaki dan wanita bagi merebut 20 pingat emas yang dipertandingkan di Kuantan nanti.