Site Last Updated 4:02 pm, Friday

Skuad takraw Sukma julang Piala Kasmera 2012

by Wan Ali Amit. Posted on June 27, 2012, Wednesday

JUARANYA: Tedong (dua kanan) bersama Nurudin (kanan) menerima piala kejuaraan daripada Hasidah di Kuching pada Ahad lalu.

KUCHING: Skuad sepak takraw Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak yang bakal bersaing pada temasya Sukma XV di Pahang bulan depan muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Kampung Semerah Padi (Kasmera) 2012 di gelanggang sepak takraw Kampung Semerah Padi Fasa I di sini, Ahad lalu.

Skuad bimbingan Nurudin Pawi itu berjaya membenam cabaran Sri Keranji pada perlawanan akhir untuk merangkul kejuaraan.

Kejayaan itu membolehkan mereka merangkul sebuah piala pusingan Piala Basli Enterprise, piala iringan, pingat dan wang tunai RM500.

Pengurus pasukan, Tedong Bugak berkata kejayaan itu sudah tentu menyemarakkan semangat para pemain untuk berjuang pada temasya Sukma XV di Pahang, Julai depan.

“Saya percaya kemenangan bergelar juara ini menjadi pemangkin buat para pemain kita untuk beraksi lebih cemerlang pada Sukma XV di Pahang kelak,” katanya ditemui selepas perlawanan.

Tedong menarik perhatian dalam kejohanan jemputan berpasukan IADA malam Sabtu lalu, skuadnya muncul naib juara setelah ditewaskan oleh pasukan Nen Frend.

Beliau berkata dengan pendedahan dalam beberapa kejohanan peringkat daerah, negeri dan kebangsaan yang mereka tempuhi skuadnya tampak begitu yakin untuk mengharungi cabaran Sukma XV di Pahang.

“Saya cukup yakin semua pemain telah bersiap sedia untuk menghadapi Sukma XV yang bakal berlangsung di Pahang mulai 6 hingga 17 Julai depan,” katanya.

Hadiah pemenang telah disampaikan oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Turut hadir Ketua Kaum Semerah Padi Fasa I dan II iaitu Ahmad Amin dan Bali Hull serta Pengerusi Kelab Sepak Takraw Kasmera yang juga pengerusi penganjur, Abdul Rahman Ali.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.