Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - 280,000 hektar tanah NCR telah disukat

280,000 hektar tanah NCR telah disukat

Posted on June 28, 2012, Thursday

BAU: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah menyukat keliling dan mewartakan sejumlah 280,000 hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah Ini-siatif Baharu NCR di negeri ini sehingga Mei 2012.

Penolong Pengarah (Tanah) JTS Negeri Abdullah Julaihi berkata keluasan itu melibatkan kira-kira 80 daripada lebih 100 permohonan penyukatan ukur keliling tanah NCR di negeri ini yang te-lah dikenal pasti oleh jabatan itu.

“Setakat ini JTS negeri telah menerima sekitar 500 permohonan dari seluruh negeri dan kira-kira 100 daripadanya telah di- kenal pasti dari segi lokasi dan kesahihannya sebagai tanah NCR.

“JTS telah menyelesaikan kerja-kerja penyukatan untuk kira-kira 80 permohonan ini dan setiap permohonan purata keluasan ta-nah 3,000 hingga 5,000 ekar.

“Sarikei, Kapit dan Miri adalah bahagian mencatat keluasan yang besar telah disukat serta diwarta-kan,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis penyerahan warta rizab guna sama Bumiputera dan geran bagi tujuan pertanian kepada Kampung Grogo dan Kampung Sibuluh di Pejabat Daerah Bau.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Tugas-tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Abdullah berkata kerja-kerja penyukatan dan pewartaan tanah NCR di Sarawak yang mula dilaksanakan pada November 2010 akan siap sepenuhnya pada 2015.

“Ini adalah usaha yang berterusan dan bagi mereka atau penduduk kampung yang mungkin tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai perkara ini boleh mendapat penerangan daripada semua pejabat JTS di seluruh negeri.

“Penduduk kampung boleh meminta JTS membantu mereka menyediakan peta sempadan seterusnya mengenal pasti tanah dimaksudkan,” katanya.

Beliau menambah setakat hari ini 77 kawasan tanah NCR di seluruh Sarawak telah diwartakan sebagai tanah rizab guna sama Bumiputera untuk tujuan pertanian dan daripada jumlah itu lebih 30 telah menerima geran masing-masing.

Kawasan itu katanya melibatkan semua tanah NCR milik orang Melayu, Melanau, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Sementara itu Adenan dalam ucapan perasmiannya berkata beliau berpuas hati dengan respons daripada orang ramai terhadap program penyukatan perimeter tanah NCR yang disifatkannya amat memberangsangkan.

“Pada mula inisiatif ini diperkenal oleh Perdana Menteri pada Julai 2010 di Miri, sambutannya agak dingin tetapi selepas pemberian warta dan pengeluaran geran rakyat mula percaya kerajaan benar-benar serius mengiktiraf hak rakyat.

“Setakat ini saya difahamkan JTS telah menerima kira-kira 500 permohonan dari seluruh negeri dan saya percaya jumlah ini akan meningkat,” katanya.

Adenan menambah biarpun ia tambahan bebanan buat JTS beliau percaya jabatan itu mampu melaksanakannya dengan baik walaupun terpaksa mengambil sedikit masa.

Beliau turut menasihati penduduk kampung yang terlibat dalam penyukatan perimeter NCR agar mengelakkan pertelingkahan dan pertikaian terhadap hak serta sempadan kerana ia hanya akan melambatkan kerja JTS.

Keutamaan ujarnya akan diberikan kepada kawasan yang tidak menimbulkan masalah seperti pertikaian mengenai sempadan tanah untuk disukat.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.