Edisi kedua Larian The Borneo Post 2012 akan berlangsung pada 25 Ogos

0

SIBU: Edisi kedua Larian The Borneo Post 2012 akan berlangsung di Dataran Bandar Sibu (DBS), Fasa I pada 25 Ogos ini, bermula jam 7.45 pagi.

Larian tahunan ini dianjurkan oleh akhbar The Borneo Post dan ditaja oleh Yeo’s serta Gree, selain turut mendapat sokongan Majlis Perbandaran Sibu dan Kelab Maraton Sibu (KMS).

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan KTS TemenggUng Vincent Lau Lee Ming berkata, larian tahun lepas amat berjaya serta mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

“Seramai lebih 700 peserta telah mengambil bahagian termasuk dari Mukah, Kuching, Miri, Sarikei dan sebagainya. Disebabkan sambutan baik itu, kita telah menjadikan larian ini acara tahunan untuk mempromosikan Kumpulan See Hua dan akhbar The Borneo Post,” ujarnya pada sidang media, semalam.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Larian The Borneo Post 2012, Kueh Nguan Seng, ahli jawatankuasa larian, Jamie Kong serta Pengerusi KMS, Tang Kah Seng.

Menurut Lau lagi, larian tahun ini juga sempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 KTS dan ke-60 Kumpulan See Hua.

“Penganjuran larian ini diharap dapat menggalakkan orang ramai mengambil bahagian dalam aktiviti sihat seperti bersukan dan bersenam.

“Di samping itu, sebagai sebuah media berita kita juga mempunyai tanggungjawab sosial korporat yang perlu dimainkan kepada masyarakat, selain menyampaikan berita,” jelasnya.

Berbeza dengan edisi pertama tahun lepas, larian tahun ini dibahagikan kepada enam kategori iaitu Kategori A — Terbuka Lelaki, Kategori B — Terbuka Wanita, Kategori C — Lelaki Veteran (45 tahun dan ke atas), Kategori D — Wanita Veteran (40 tahun dan ke atas), Kategori E — Lelaki Junior (18 tahun ke bawah) dan Kategori F — Wanita Junior (18 tahun ke bawah).

Edisi tahun ini turut menyaksikan jarak larian bagi keenam-enam kategori adalah sejauh 10 kilometer, iaitu bermula dari DBS Fasa I melalui Jalan Bujang Suntong, Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Awang Ramli Amit, Sungai Antu, RTM sebelum kembali ke DBS melalui laluan yang sama.

Yuran penyertaan bagi Kategori A, B, C dan D ialah RM10 seorang dan RM5 seorang bagi Kategori E dan F. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 13 Ogos ini, jam 3 petang.

Juara bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai RM300, naib johan (RM200) dan ketiga (RM150) berserta piala. Pemenang tempat keempat dan kelima masing-masing akan menerima RM100 dan RM80. Hadiah wang tunai RM30 pula menanti pemenang tempat keenam hingga ke-30.

Setiap peserta yang menamatkan larian juga akan diberi sijil penyertaan.

Sementara, borang penyertaan boleh didapati di See Hua Marketing Sdn Bhd, No.40, Jalan Tuanku Osman atau menghubungi 084-315252 dan 084-320509 untuk maklumat lanjut. Orang ramai juga boleh menghantar e-mel kepada [email protected].

Bagi 500 peserta yang mendaftar awal, mereka akan mendapat baju-T daripada pihak penganjur.