Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Empat unit penjana HEP Bakun beroperasi, disambung ke grid transmisi
Empat unit penjana HEP Bakun beroperasi, disambung ke grid transmisi
Posted on June 29, 2012, Friday
KUCHING: Empat unit penjana Projek Hidroelektrik (HEP) Bakun sudah beroperasi dan disambungkan kepada grid transmisi negeri manakala empat unit penjana lain akan beroperasi secara berperingkat untuk membekalkan tenaga ke grid tersebut.
Menerusi kenyataan akhbar semalam, dinyatakan bahawa dengan takungan yang berupaya beroperasi pada tahap maksimum 228 meter, empangan itu juga bertindak sebagai kawalan kepada aliran air ke hilir sungai.
Kenyataan turut memetik bahawa Sarawak Hidro Sdn Bhd sekarang mengeluarkan air antara 950 hingga 1,100 meter padu sesaat yang memelihara paras air sungai yang boleh dilalui di hilir sungai walaupun pada waktu musim kemarau sekali gus memberi faedah kepada penduduk tempatan yang bergantung kepada pengangkutan sungai.
Sementara, bagi HEP Murum yang kini sedang dibina oleh SEB, berjalan mengikut jadual dan unit penjana pertama dijangka beroperasi pada 2014.
Apabila siap sepenuhnya, empangan itu dijangka memiliki kapasiti 944 megawatt.
HEP Bakun dan Murum akan menjana tenaga bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat di negeri ini selain menarik pelabur dalam SCORE yang akan melonjakkan negeri ini sebagai ekonomi berpendapatan tinggi yang turut memberi manfaat kepada penduduk pedalaman.
Pembangunan ekonomi sampingan juga akan dihasilkan oleh projek berkenaan kerana empangan tersebut memiliki potensi untuk memacu industri tempatan lain seperti ekopelancongan dan akuakultur.
Pada Selasa lepas, Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan pegawai-pegawai kementerian serta Sarawak Energy Berhad (SEB) melawat tapak empangan HEP Bakun dan Murum.
Mengiringi beliau ialah Menteri-Menteri Muda Datuk Sylvester Entri dan Datuk Dr Stephen Rundi, Pengarah Lembaga SEB Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Tetap Kementerian Kemudahan Awam Ubaidillah Abdul Latip dan Ketua Pegawai Eksekutif SEB Tornstein Sjovelt.
<< Previous Entry - Next Entry >>



