Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Jerebu di Miri semakin pulih

Jerebu di Miri semakin pulih

by Clare Cinderella. Posted on June 29, 2012, Friday

MIRI: Keadaan berjerebu tebal yang melanda Miri beberapa hari lepas ekoran kebakaran hutan tanah gambut di Kuala Baram dekat sini, mulai pulih dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menurun kepada 116 pada jam 7 pagi semalam.

Menteri Muda Perhubungan merangkap Ahli Dewan Unda-ngan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin berkata walaupun penurunan bacaan IPU hampir separuh namun pihak berkuasa akan menerus-kan usaha pemantauan bagi mengelak kebakaran hutan di tanah gambut merebak lagi ekoran cuaca panas ketika ini.

“Miri dijangka mengalami cuaca panas sehingga bulan September akan datang, justeru kami masih tetap berhati-hati terhadap sebarang kes kebakaran hutan termasuk pembakaran terbuka,” katanya.

Lee berkata demikian kepada pemberita di sini semasa melawat ke Menara Peninjau di sini, untuk mengetahui keadaan terkini.

Turut mengiringi beliau ialah Pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Miri S. Sivanathiran, Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Unjar Lum serta wakil Jabatan Pengairan dan Saliran Miri.

Lee memberitahu, pembinaan terusan kecil sebagai penghalang kebakaran, sepanjang lebih dua kilometer dari Menara Peninjau hingga ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Kuala Baram dekat sini, akan diteruskan menggunakan enam jengkaut, di mana empat daripadanya ditaja oleh syarikat korporat iaitu Petronas, Shell, Samling dan Daiken.

“Manakala dua lagi adalah menggunakan peruntukan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Dalam pada itu kami amat berterima kasih kepada sektor swasta ini yang telah banyak membantu kami dalam usaha-usaha memadamkan kebakaran dan menangani jerebu kali ini,” katanya.

Lee memberitahu sehingga semalam juga hanya dua sahaja kawasan kebakaran dikesan di Miri iaitu Vista Perdana dan Permyjaya (yang merangkumi ILP) namun api sudah dipadamkan dan hanya berasap sahaja, tetapi masih perlu dipantau.

“Bagi menangani situasi kebakaran tersebut kami menggunakan telaga tiub dengan mengepam air dari bawah tanah untuk membanjiri semua kawasan yang terbakar tersebut, bagi memadamkannya,” tambah beliau.

Miri ketika ini mempunyai tujuh telaga tiub bagi menangani kebakaran di tanah gambut di Kuala Baram dan Permyjaya dengan sebuah daripadanya akan dibina dalam sedikit masa lagi, manakala dua lagi akan dicadangkan kepada pihak Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli.

Sementara itu Unjar Lum memberitahu bahawa pihak bomba menganggarkan tidak kurang daripada 100 hektar kawasan hutan dan belukar telah terbakar di sekitar bahagian Miri dalam tempoh dua minggu ini, dengan lebih separuh daripadanya adalah di kawasan ILP, Kuala Baram.

“Ketika ini kami masih memberi tumpuan kepada Permyjaya dengan 15 anggota bomba ditempatkan khas di kawasan ini untuk memantau keadaan secara syif dan mereka bekerja 24 jam.

“Dalam pada itu 30 anggota lagi dalam keadaan bersiap sedia, yang akan bertindak segera jika ada kes-kes kebakaran berlaku di kawasan,” katanya.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.