Home - Utusan Borneo - Sukan - Kejohanan Sarawak Muaythai 30 Jun-1 Jul

Kejohanan Sarawak Muaythai 30 Jun-1 Jul

Posted on June 29, 2012, Friday

KUCHING: Dalam usaha memperomosi sukan muaythai di sini, Kelab Muaythai Petrajaya SS Fighters, Kelab Muaythai Kenyalang dan Jabatan Belia dan Sukan akan menganjurkan Kejohanan Sarawak Muaythai Charity Challenge dari 30 Jun hingga 1 Julai ini.

Pertandingan yang diadakan buat pertama kali di Sarawak akan  diadakan di Kompleks Belia dan Sukan dan bakal menyaksikan 110 peserta termasuk pelajar bertarung bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM18,000. Peserta termuda ialah pelajar berumur lapan tahun.

Pemilik Kelab Muaythai SS Fighters Sulaiman Salleh berkata, objektif lain penganjuran adalah bagi mendorong para remaja melibatkan diri dengan aktif dalam sukan lasak dan mencabar.

Selain itu, ia juga bertujuan menghindari para remaja dari terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat.

“Penganjuran ini boleh mendapat pengiktirafan ‘Malaysia Book of Records’ kerana ia bakal menyaksikan 55 regu bertanding dalam pertandingan selama dua hari tersebut,” jelas Sulaiman semasa ditemu bual Utusan Borneo semalam.

“Lima puluh regu yang terdiri dari peserta muaythai amatur akan menggunakan kit keselamatan sewaktu pertandingan. Sementara itu, lima lagi regu iaitu peserta profesional akan berdepan dengan peserta dari luar negeri.”

Sulaiman menambah, kejohanan ini adalah medan terbaik bagi memberi pendedahan berguna kepada para peserta yang masih baharu dalam sukan muaythai.

Tambahan lagi muaythai semakin popular dan ia turut disenaraikan dalam Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan di Kuala Lumpur, jelas Sulaiman.

Pemenang dalam kategori regu amatur akan meraih hadiah wang tunai berjumlah RM200 dan yang tewas mendapat RM100 sementara pemenang dalam kategori profesional akan membawa pulang RM400 dan yang tewas menerima RM200.

Sulaiman berkata, kejohanan tersebut turut menarik minat peserta dari luar negeri seperti Persatuan Tomoi Labuan, Borneo Combat Gym, Borneo Red Empire Sabah, Persatuan Muaythai Selangor dan Kelab Muaythai Naga Api.

Justeru, beliau mengajak peminat-peminat muaythai dan orang awam agar turut serta dalam pertandingan tersebut.

Tiket perlawanan berharga RM12 dan boleh didapati di kompleks terbabit. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi SS Fighter Gym menerusi talian 082-258949.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.