Home - Utusan Borneo - Sukan - Kejuaraan Liga Betong Naim 2012 sah milik MPOB Elite
Kejuaraan Liga Betong Naim 2012 sah milik MPOB Elite
Posted on June 29, 2012, Friday
BETONG: Kejuaraan Liga Betong Naim 2012 sah milik MPOB Elite apabila mereka membenam pasukan Kampung Boy dengan jaringan 2-0 pada perlawanan terakhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Betong di sini kelmarin.
Pemain pertahanan Abdul Kadir Sait menjaringkan gol pada minit ke-44 perlawanan manakala pemain gantian Ahmad Assan melebarkan defisit gol pada minit ke-85.
Dengan kemenangan tersebut, skuad MPOB Elite melakar kejuaraan pertama mereka dalam penampilan sulung pada Kejohanan Liga Betong Naim setelah mengumpul 20 mata dengan enam kemenangan dan dua keputusan seri.
“Bangga dapat memimpin pasukan sehingga ke tahap ini. Apatah lagi komitmen yang begitu tinggi diberikan oleh para pemain sepanjang kejohanan,” kata jurulatih pasukan MPOB Elite, Abdul Rahman.
Beliau merasakan sememangnya wajar pasukan me-reka menjadi juara, dengan kemampuan dan prestasi mereka berada pada tahap yang memberangsangkan serta penuh penumpuan dalam setiap perlawanan yang diharungi.
“Semangat berpasukan yang tinggi ditunjukkan oleh setiap pemain merupakan kunci utama kejuaraan pasukan.
“Penyertaan pasukan pada kejohanan peringkat dalam dan luar daerah juga sebagai pendedahan untuk mereka terus maju dalam permainan dan membentuk kemahiran individu. Memang tidak dapat dinafikan banyak kejohanan disertai selama ini,” kata Abdul Rahman.
Jelasnya lagi, bukan mudah untuk membentuk pasukan yang benar-benar mantap kerana untuk mencari dan melahirkan pemain yang berkemahiran adalah amat sukar dalam kalangan kakitangan MPOB di kawasan ini.
“Misi pertama telah berjaya dirangkul, namun kami masih memerlukan satu tahap keyakinan untuk membawa pulang Piala Datuk Patinggi Jabu yang pastinya akan menjadi rebutan tujuh pasukan lain yang berentap dalam kejohanan tersebut,” ujarnya..
Meskipun juara liga telah diketahui, namun perebutan tempat kedua dan seterusnya masih terbuka di antara lima pasukan lain.
Kejohanan liga terus diadakan dengan keputusan akhir diketahui pada minggu depan.
<< Previous Entry - Next Entry >>



