Pelajar lahirkan bayi di asrama sekolah

12

SARIKEI: Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah dari Belawai dekat sini dilaporkan melahirkan seorang bayi di asrama pelajar pada petang kelamarin (Rabu).

Kejadian itu turut disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei DSP Dominic Josip yang dihubungi oleh pemberita semalam.

Dominic berkata, kejadian tersebut telah dilaporkan di Balai Polis Belawai pada sekitar jam 6 petang kelmarin oleh pembantu kesihatan dari klinik di kawasan terbabit.

Pembantu kesihatan tersebut dalam laporannya menyatakan bahawa dalam kejadian itu pihaknya telah didatangi pihak sekolah yang datang dalam keadaan yang tergesa-gesa bersama seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun.

Pada masa yang sama beliau turut dimaklumkan oleh pihak sekolah terbabit bahawa pelajar perempuan yang dibawa oleh mereka itu telah melahirkan seorang bayi di asrama dan mengalami pendarahan.

Beliau turut dimaklumkan bahawa pihak tersebut turut membawa bayi yang dilahirkan itu bersama, tetapi malangnya bayi itu telah didapati meninggal dunia dalam perjalanan mereka membawanya menuju ke klinik terbabit.

“Berikutan kejadian itu, pembantu kesihatan tersebut telah bertindak melaporkan kejadian itu ke Balai Polis Belawai.

“Berdasarkan siasatan awal, kami mendapati bahawa pelajar perempuan itu telah melahirkan bayi berkenaan di asrama sekolah pada tengah hari kelmarin.

“Hasil siasatan kami juga mendapati bahawa pelajar ter-babit telah bertindak menutup muka bayi yang dilahirkannya itu dengan sehelai tuala basah untuk mengelak daripada di-kesan pelajar lain.

“Namun begitu akibat pendarahan yang serius berlaku kepadanya, akhirnya kejadian itu diketahui oleh pelajar lain, lantas bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak sekolah yang telah membawanya mendapatkan rawatan di klinik berkenaan,” jelas Dominic.

Tambahnya, pendarahan serius yang berlaku kepada pelajar tersebut menyebabkan pihak klinik tersebut terpaksa merujuk pelajar terbabit ke Hospital Sibu untuk rawatan selanjutnya.

“Mayat bayi terbabit telah dihantar ke Hospital Sarikei untuk proses bedah siasat.

Kejadian ini akan kami klasifikasikan sebagai kes kematian dan akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Namun begitu siasatan kes ini masih lagi dijalankan dan punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan kami,” kata Dominic.