Home - Utusan Borneo - Sukan - Peraturan had umur gimnas kembali kepada asal, Tan lega
Peraturan had umur gimnas kembali kepada asal, Tan lega
Posted on June 29, 2012, Friday
KUCHING: Pengurus skuad gimnastik Sukma Sarawak Tan Gek Hiong menarik nafas lega setelah peraturan berkaitan had umur peserta yang mengambil bahagian di Pahang kembali kepada asal.
“Saya lega dan gembira kerana masalah ini telah selesai. Had umur peserta dalam acara gimnastik telah kembali kepada peraturan asal iaitu dari 12–21 tahun,” jelas Tan semasa dihubungi oleh Utusan Borneo baru-baru ini.
“Keputusan ini pasti memberi kelebihan kepada gimnas kita untuk memungut lebih banyak pingat. Selain itu, ia sedikit sebanyak menyuntik semangat gimnas yang sebelum ini kecewa dengan peraturan baharu tersebut.”
Beliau berkata peraturan tersebut timbul akibat kesilapan teknikal dan ia telah diperbetulkan oleh pihak yang terbabit dalam penganjuran Sukma ke-15 dari 7-16 Julai depan.
Sebelum ini, laporan menyebut Majlis Sukan Negara (MSN) menaikkan umur peserta gimnastik artistik dari 21 ke 23 tahun manakala umur peserta gimnastik berirama diturunkan dari 21 ke 15 tahun setelah mendapat arahan dari Majlis Olimpik Malaysia (OCM).
Dalam perkembangan lain, skuad gimnastik artistik telah mengadakan latihan intensif di Raden Inten, Indonesia dari 12-24 Jun sebagai melengkapkan persediaan sebelum berlepas ke Kuantan.
Koordinator Gimnastik Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Dedia Sarini berkata pemilihan pusat latihan gimnastik Raden Inten sangat sesuai memandangkan ia memiliki kemudahan yang jauh lebih baik dari pusat latihan di sini.
<< Previous Entry - Next Entry >>



