Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - Tumpahan minyak: JAS Johor ambil sampel minyak dari sebuah kapal dagang
Tumpahan minyak: JAS Johor ambil sampel minyak dari sebuah kapal dagang
Posted on June 29, 2012, Friday
PONTIAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sudah mengambil sampel minyak dari sebuah kapal dagang yang berlabuh di perairan Tanjung Piai bagi siasatan berhubung kejadian tumpahan minyak yang berlaku di sekitar perairan berkenaan termasuk Taman Negara Johor Tanjung Piai.
Ketua Penolong Pengarah JAS Johor Zarmadi Mohd berkata, sampel minyak dari kapal milik syarikat antarabangsa itu diambil semalam dan sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis sebelum tindakan lanjut dapat dilakukan.
“Kita akan membuat pemadanan sampel minyak yang diambil dari kapal terbabit dengan sampel tompokan minyak yang ada di pesisir pantai Taman Negara Johor Tanjung Piai. Sekiranya ia padan, pihak yang terlibat boleh didakwa mengikut Seksyen 29 Akta Kawalan Alam Sekeliling kerana melakukan pencemaran,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di taman negara berkenaan, di sini, semalam.
Zarmadi berkata, JAS akan memperluaskan siasatan ke kapal lain yang berlabuh di perairan berkenaan sekiranya sampel minyak yang telah diambil itu didapati tidak sepadan dengan sampel tompokan minyak di perairan itu.
Beliau berkata, usaha pembersihan di kawasan 600 meter pesisir pantai taman negara itu akan diperhebatkan esok (hari ini) oleh beberapa agensi terlibat dengan JAS sudah menyediakan peralatan membersih yang diperlukan termasuk kertas penyerap minyak.
Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor Suhairi Hashim pula berkata, pembersihan di sekitar pokok bakau sudah dilakukan pagi semalam oleh 30 pekerja taman negara dengan berjaya mengumpulkan 200 kilogram minyak untuk dilupuskan.
“Kerja-kerja pembersihan dilakukan secara manual dengan menggunakan kertas serap minyak ke atas pokok bakau. Kita juga menggunakan pongkis untuk mengumpulkan minyak ke dalam guni plastik.
“Proses pembersihan minyak menggunakan semburan air tidak sesuai dilakukan kerana dikhuatiri mengganggu hidupan seperti ketam, siput berongan, siput sedut dan ikan belacak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Tanjung Piai, Ruhaizad Abdul Hamid ketika ditemui berkata tumpahan minyak itu menjejaskan mata pencarian nelayan pesisir pantai kerana kira-kira 400 nelayan tidak dapat turun ke laut dalam jangka masa dua minggu. — Bernama
<< Previous Entry - Next Entry >>
Advertisement





