Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Lelaki maut selepas motosikal dilanggar Proton Waja
Lelaki maut selepas motosikal dilanggar Proton Waja
Posted on July 1, 2012, Sunday
BEAUFORT: Niat seorang penunggang motosikal untuk ke tempat kerjanya pagi kelmarin tidak kesampaian apabila terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 3 Jalan Limbawang Bypass, dekat sini.
Mangsa yang meninggal serta-merta di tempat kejadian dikenali sebagai Mohd Fadhli Mohd Jani, 21, berasal daripada Kampung Rancangan Klias.
Mohd Fadhli dipercayai mengalami kecederaan teruk selepas motosikalnya dilanggar sebuah kereta Proton Waja yang datang dari arah bertentangan, kira-kira jam 7.15 pagi.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Daerah Beaufort untuk bedah siasat.
Difahamkan, pemandu kereta yang berumur 28 tahun bersama tiga lagi penumpang lain iaitu kanak-kanak dalam lingkungan lima hingga 11 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
Kesemua mereka turut menerima rawatan di hospital terbabit.
Ketua Polis Daerah Beaufort, DSP Mustaffa Maarof Mustaffa berkata, saksi kejadian diminta tampil untuk membantu polis menjalankan siasatan.
Menurutnya, mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shendria Anak Seyes di talian 013-2678627 atau 087-211222 atau datang ke balai polis.
Jelasnya, punca kejadian masih lagi dalam siasatan.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Okin yang berada di tempat kejadian ketika dalam perjalanan menuju ke Kuala Penyu sempat berhenti dan menghulurkan bantuan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Beaufort ini turut menyerahkan sumbangan ikhlas kepada keluarga mangsa.
<< Previous Entry - Next Entry >>
Advertisement





