Jangan politikkan isu halal dan agama, kata Daud

0

KUCHING: Jangan politikkan isu halal mahupun yang berkaitan dengan agama tegas Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.

Beliau memberitahu, isu berkenaan amat sensitif dan tidak sesuai untuk dipolitikkan kerana dikhuatiri menjejaskan perpaduan dan keharmonian rakyat terutama masyarakat majmuk.

Malah, beliau menyifatkan perbuatan pihak pembangkang yang menggunakan isu berkenaan sebagai modal menarik pengundi semasa menegadakan ceramah amat tidak bertanggungjawab.

“Tugas kita hanya melakukan apa yang terbaik dan betul dari segi agama dan janganlah pula dipolitikkan isu halal,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Ceramah Merdeka Rakyat II anjuran Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Satok baru-baru ini yang membangkitkan isu tersebut.

Dalam ceramah itu juga, PKR dikatakan mempersoalkan tindakan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Majlis Islam Sarawak (MIS) yang menarik sijil halal produk Golden Churn pada tahun lalu yang telah menjejaskan pengusaha kek lapis di negeri ini.

“Pengusaha kek lapis faham, tindakan tersebut dibuat atas tanggungjawab kita untuk pengguna Islam.

“Apabila Golden Churn telah mematuhi syarat dan kita (pengguna) yakin, pihak kita menerima pakai semula produk tersebut,” jelasnya.

Mentega Golden Churn diperakui halal semula oleh JAKIM pada Mei lalu selepas pemeriksaan dijalankan di kilang pembuatan mentega tersebut.