JTS Bahagian Betong juara Kategori Teknikal Peringkat Zon Selatan

0

BETONG:  Usaha gigih dan komitmen tinggi membolehkan pasukan Axis Paradok daripada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Betong  dinobatkan selaku juara Kategori Teknikal Peringkat Zon Selatan.

Selaku johan pertandingan Pasukan Axis Paradok, telah berjaya membawa pulang sebuah piala dan wang tunai sebanyak RM1,000.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan ini  disampaikan semasa Konvensyen Inovatif dan Kreatif (KIK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) lama, baru-baru ini.

Dalam kategori berasingan persembahan terbaik dimenangi oleh Pasukan 1 Jabatan Ketua Menteri (JKM) yang memenangi kategori pameran terbaik.

Kategori pengurusan terbaik pula dimenangi oleh pasukan SKIP daripada Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak.

Sejumlah 26 kumpulan daripada pelbagai agensi kerajaan di Sarawak telah mengadakan pameran hasil inovasi dan projek KIK mereka pada Konvensyen KIK Peringkat Zon Selatan yang berkonsepkan ‘tanpa dinding’ dengan membawa tema ‘Green Exhibition’.

Hadiah Konvensyen KIK Peringkat Zon Sektor Perkhidmatan Awam Negeri disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani.

Majlis ini turut dihadiri oleh Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin dan Pengarah Unit Pengurusan dan Pemodenan Kualiti (UPPQ) Jabatan Ketua Menteri Dr Sabariah Putit.

Dalam ucapannya, Morshidi berkata konsep KIK di jabatan kerajaan adalah mekanisme yang boleh digunakan untuk menggalakkan setiap penjawat awam memberi serta berkongsi idea kreatif yang bernas.

“Peningkatan daya kreativiti dan inovasi dalam tugas seharian bukan sahaja dapat memberi nilai tambah kepada agensi dan perkhidmatan awam tetapi juga menyumbang kepada pembentukan modal insan yang berkualiti.

“Modal insan yang berkualiti, berinovasi dan mempunyai daya kreativiti yang tinggi merupakan satu eleman penting ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Justeru kita amat menggalakkan aktiviti KIK,” katanya.

Sementara itu  Dr Sabariah dalam ucapannya berkata Sarawak mempunyai 189 KIK yang terdiri daripada lapan agensi terlibat, sekali gus menyaksikan Sarawak merupakan negeri terbanyak KIK di kalangan negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.