‘Klik Dengan Bijak’, guna Internet secara positif

0

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu penyalahgunaan Internet seperti penggodaman, pencurian identiti, kes penipuan Internet dan kes buli siber yang dilapor semakin meningkat di negara ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kes-kes itu adalah sebahagian masalah yang dihadapi orang ramai terutama pengguna Internet yang secara langsung membawa kepada kesan negatif.

Tahap kesedaran pengguna Internet terhadap kes seumpama itu masih rendah dan pengetahuan mereka dalam aspek keselamatan penggunaan Internet juga masih kurang, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kempen ‘Klik Dengan Bijak’ peringkat kebangsaan 2012 di sini semalam. Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Rais berkata, kempen itu adalah inisiatif SKMM dalam membantu membudaya penggunaan Internet secara positif di kalangan masyarakat.

Beliau berkata, usaha SKMM itu adalah selari dengan pembangunan pesat teknologi maklumat dan peningkatan berterusan kadar penembusan jalur lebar negara yang kini berada di tahap 64 peratus dengan jumlah pengguna internet yang melebihi 17.5 juta orang.

Pihak kementerian juga akan mengadakan perbincangan dengan semua kerajaan negeri bagi mempromosi kempen kesedaran awam keselamatan internet yang bermula bulan ini, katanya.

Sementara itu, Mohamed Sharil berkata kempen itu disasar kepada golongan masyarakat yang paling terdedah dengan jenayah salah laku siber iaitu kanak-kanak, remaja, belia dan ibu bapa.

“SKMM akan menjalankan pelbagai aktiviti untuk mengetahui sejauh mana pengetahuan peserta tentang internet dan terus memberikan kesedaran kepada mereka cara penggunaan Internet yang betul,” katanya.

Beliau berkata kempen itu berteraskan tiga aspek iaitu keselamatan, berwaspada dan tanggungjawab yang menitikberatkan kawal selia kendiri dalam membendung masalah penyalahgunaan Internet. — Bernama