Masih ramai usahawan Bumiputera amal perniagaan cara lama dan konvensional

0

LAWAS: Masih ramai usahawan Bumiputera di negeri ini mengamalkan cara lama dan konvensional dalam perniagaan yang mengakibatkan golongan tersebut masih ketinggalan dan berdepan kesukaran untuk bersaing dengan usahawan bukan Bumiputera lain.

Menteri Perancangan Sumber dan  Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata walaupun terdapat peningkatan terhadap bilangan Bumiputera yang terlibat dalam bidang usahawan namun kebanyakan mereka masih terikat dengan perniagaan cara lama.

Beliau yang juga Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak mahu usahawan Bumiputera melakukan anjakan paradigma bagi mencapai matlamat kerajaan ke arah pendekatan strategik untuk  pembentukan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

“Walaupun di Sarawak semakin ramai usahawan Bumiputera menceburi sektor berkenaan, tetapi apa yang dapat dilihat ialah mereka ini masih berada di takuk lama yang terikat dengan ciri-ciri perniagaan tradisional yang menyebabkan mereka agak ketinggalan dan sukar untuk bersaing dengan usahawan bukan Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Keusahawanan Kerjaya Pilihan Siri Pertama anjuran Gagasan Badan Ekonomi Masyarakat Bumiputera (GABEM) Sarawak dan Jabatan Ketua Menteri (Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera) di sini kelmarin.

Turut sama ialah Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, wakil Pengarah Pejabat Ketua Menteri Mohd Nor Abang  dan Pegawai Daerah Lawas Mohd Supaih Hamdan.

Program sehari itu dihadiri seramai 90 peserta dari daerah Lawas.

Awang Tengah berkata golongan usahawan wajar mengambil peluang dan bergiat aktif dalam sektor keusahawanan.

“Meskipun  terdapat pelbagai cabaran, agensi-agensi kerajaan sentiasa sedia membantu sekiranya anda semua menunjukkan komitmen dan semangat yang tinggi serta tidak mudah mengalah,” tambahnya.

Awang Tengah berkata lagi terdapat pelbagai agensi berkaitan seperti Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera, Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), MARDI, FAMA, SME Corp dan agensi lain yang sedia membantu dari segi khidmat nasihat serta pelbagai insentif dan bantuan yang ditawarkan.

Beliau memberitahu bidang keusahawanan kini merupakan nadi pembangunan negara dan kestabilan sosial yang berkait langsung dengan peningkatan perniagaan dan ekonomi negara.

Katanya perkembangan itu sejajar dengan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang menumpu kepada jentera pertumbuhan.

“Ia melibatkan  12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) seperti sektor peruncitan dan pemborongan, pertanian, minyak sawit, pelancongan, perkhidmatan kewangan dan sebagainya.

“Agenda ekonomi kerajaan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha membangunkan sektor tersebut di seluruh negara termasuk di daerah Lawas ini,” katanya.

Empat kertas kerja dibentangkan pada program itu. Antaranya Taklimat GET Malaysia Business Online oleh Ruzaif Md Daud daripada Al-Qafilah International Sdn Bhd, Taklimat Pendaftaran Perniagaan oleh Joseph Ganang daripada Pejabat Daerah Lawas dan Pengurus Cawangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM) Abdul Rahman Rosli, Peluang Perniagaan Dalam Industri Impak Tinggi yang disampaikan oleh Dr Lim Chan Koon dan Perkongsian Pengalaman dan Cabaran Usahawan Berjaya yang dibentangkan oleh Datuk Dr Azman Samaon daripada Azman Global Development Holdings Sdn Bhd.