Polis lancar operasi banteras samseng jalanan, tiga anggota tentera turut ditahan

1

KOTA KINABALU: Tiga orang anggota tentera antara 88 individu yang ditahan polis dalam operasi membanteras samseng jalanan besar-besaran awal pagi kelmarin.

Operasi yang bermula jam 1 pagi itu dijalankan di sekitar kawasan bandaraya dan melibatkan seramai 70 anggota dan 14 pegawai polis.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kota Kinabalu, Deputi Supritendan Mohd Zaidi Abdullah berkata selain memandu secara melulu, samseng jalanan terbabit sanggup merempuh laluan keretapi semata-mata mahu melarikan diri daripada pihak polis.

“Kita percaya tindakan nekad mereka itu berpunca daripada faktor lain seperti dipengaruhi alkohol dan kita juga menemui tin gam di tiga buah motosikal.

“Selain itu, sebilah pisau turut ditemui daripada seorang penunggang motosikal dalam operasi ini,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Beliau berkata, operasi berkenaan dibuat selepas pemerhatian rapi dijalankan sejak dua bulan lepas mengenai aktiviti samseng jalanan terbabit.

Mohd Zaidi berkata, daripada jumlah yang ditangkap itu, 72 penunggang yang berumur 16 hingga 29 tahun ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.

Tambahnya, lima lagi lelaki berumur 21 dan 22 tahun disyaki terlibat dalam lumba haram manakala lapan gadis berumur 14 hingga 20 tahun turut ditahan.

Katanya, lima buah motosikal yang dipercayai digunakan dalam perlumbaan haram disita untuk siasatan mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sebanyak 69 buah motosikal lain turut disita kerana pelbagai kesalahan dan 142 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Trafik Kota Kinabalu untuk ujian air kencing dan pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” jelasnya.

Pihak polis, katanya, akan terus melakukan operasi seperti itu dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti samseng jalanan di negeri ini.