Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - RM10,000 untuk desa pelancongan Kg Ratau

RM10,000 untuk desa pelancongan Kg Ratau

by S.CONNIE PEARL SUIL conypearl09@gmail.com. Posted on July 2, 2012, Monday

MASIDI (dua kiri) menerima dokumen ikrar menjayakan desa pelancongan Kg Ratau daripada Abdullah. Turut kelihatan Jainab (dua kanan) dan Abidin (kanan).

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Kampung Ratau bagi membangunkan kampung itu sebagai desa pelancongan.

Menterinya, Datuk Masidi Manjun berkata peruntukan itu sebagai tanda sokongan kepada kampung itu untuk merealisasikannya sebagai desa pelancongan pada tahun 2013.

“Untuk membangunkan sebuah kawasan pelancongan, perlu ada komitmen dan pelan pembangunan. Selain itu, Kampung Ratau juga perlu mewujudkan produk pelancongan yang menarik dan mampu dilaksanakan oleh orang kampung itu sendiri.

“Tempat sebagai pelancongan sudah ada…cuma perlu wujudkan produk yang merupakan idea orang kampung itu sendiri,” katanya pada Majlis Pelancaran Cadangan Pembangunan Kampung Ratau sebagai Desa Pelancongan dalam Bandaraya, di sini kelmarin.

Menurutnya, satu mesyuarat orang kampung bersama pihak yang terlibat contohnya khidmat pelancongan perlu dilaksanakan bagi mendapatkan idea pelaksanaan pelan pembangunan itu.

“Saya juga cadangkan supaya mereka membangunkan kampung itu sebagai sesuatu yang lain daripada yang lain, ringkas tetapi mempunyai ciri yang menarik,” jelasnya.

Tegas Masidi, kebersihan merupakan perkara yang penting supaya pelancong berasa selesa dan menyukai tempat itu.

“Selain itu, aktiviti yang diwujudkan mestilah memberikan suatu pengalaman baru dan unik kepada pelancong. Contohnya, melakukan aktiviti harian orang kampung seperti menanam getah, sayur-sayuran atau merasai makanan orang kampung itu sendiri,” tambahnya.

Turut hadir, Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Abidin Madingkir, Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Jainab Ahmad Ayid, Ketua Kampung Ratau, Mohamed Salleh Abdullah dan tetamu kehormat yang lain.

Print Friendly

Advertisement

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.