Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Ada sekolah sembunyi masalah penyalahgunaan dadah pelajarnya
Ada sekolah sembunyi masalah penyalahgunaan dadah pelajarnya
Posted on July 3, 2012, Tuesday
LIMBANG: Terdapat sesetengah sekolah menengah di daerah ini yang secara terang-terangan enggan bekerjasama dengan polis termasuk menyembunyikan masalah disiplin melibatkan penyalahgunaan dadah yang dihadapi para pelajarnya.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika mendedahkan masalah itu menambah ada kalangan pihak sekolah juga tidak suka dengan kehadiran polis di kawasan sekolah.
Jelasnya perbuatan tersebut akan menyebabkan penyakit sosial mudah merebak di kawasan sekolah dan boleh mempengaruhi pelajar-pelajar lain.
“Saya terkilan dengan tindakan sesetengah pihak sekolah yang tidak suka dengan kehadiran polis di kawasan sekolah. Mereka juga tidak mahu mendedahkan maslaah disiplin dan cuba menyembunyikannya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Limbang semalam.
Turut hadir Ketua Bahagian Siasatan Jenayah ASP Roslan Leman, Ketua Bahagian Narkotik ASP Anuar Md Ghazali dan Ketua Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Inspektor Khairol Ridzuan Ahmad.
Mohd Bukhori berkata perbuatan menyembunyikan sebarang bentuk masalah disiplin adalah bertentangan dengan arahan yang dikeluarkan sebelum ini bagi mengelak pengetua dikenakan tindakan tatatertib.
“Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah termasuk penyalahgunaan dadah melibatkan pelajar sekolah dan usaha menangani masalah jenayah akan diteruskan dari semasa ke semasa,” tegasnya.
Beliau mahu pihak sekolah memandang perkara itu lebih serius dan bersama-sama menangani masalah disiplin daripada terus menjadi barah yang boleh menjejaskan tumpuan mereka di sekolah.
Pada sidang akhbar sama Mohd Bukhori mendedahkan bahawa dua remaja termasuk seorang pelajar sekolah menengah berusia 14 tahun di sini ditahan kelmarin selepas hasil ujian air kencing menunjukkan kedua-duanya positif dadah jenis syabu.
Katanya tangkapan dilakukan hasil risikan dan pemerhatian terhadap remaja itu yang dalam keadaan mencurigakan ketika berada di pusat bandar.
“Hasil tangkapan remaja tersebut kami sudah mengenal pasti beberapa pelajar berusia dalam lingkungan 14 hingga 16 tahun di sebuah sekolah menengah di daerah ini yang dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Kami akan mengenal pasti lebih ramai lagi pelajar yang terlibat melalui hasil siasatan awal dan risikan sehingga kami berjaya mengumpul bukti kukuh mengaitkan mereka dengan kesalahan tersebut,” katanya.
Dalam kes berasingan beliau memberitahu seorang suspek 29 tahun berbangsa Cina ditahan di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 minggu lepas di kawasan Dermaga Kastam Limbang.
Dalam penahanan tersebut katanya pihaknya turut menjumpai 6.54 gram ketulan dadah jenis syabu yang dipercayai digunakan suspek untuk kegunaan sendiri.
“Suspek yang masih dalam siasatan kini dibebas dengan jaminan polis,” katanya.
<< Previous Entry - Next Entry >>




