Geng perompak bersenjata tumpas

0

Tiga rakan sekampung diberkas, termasuk seorang anggota pasukan keselamatan

SANDAKAN: Kegiatan rompakan bersenjata kedai serbaneka dan pecah masuk kedai di sekitar daerah ini yang dipercayai dilakukan oleh tiga rakan sekampung, tumpas selepas mereka ditahan dalam satu serbuan di Blok I, Apartment Villa Permai, Batu 5 di sini awal pagi Ahad.

Serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu membabitkan penahanan seorang anggota pasukan keselamatan berumur 26 tahun selain dua rakannya yang menganggur, masing-masing berumur 18 dan 19 tahun.

Operasi serbuan melibatkan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bersama anggota dari Pondok Polis Kawasan (PPK) Kim Fung dan PPK Sibuga.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Polis (ACP) Rowell Marong berkata kesemua suspek berkenaan yang berasal dari Johor dipercayai terlibat dalam tiga kes rompakan bersenjata di dua kedai serbaneka berasingan selain satu kes pecah masuk kedai telekomunikasi.

“Dalam serbuan ini, kita juga berjaya merampas sejumlah barangan yang dipercayai dicuri atau dirompak oleh kumpulan itu, dengan anggaran keseluruhan bernilai RM15,000. Selain itu, senjata termasuk tiga bilah parang yang mereka gunakan turut dirampas,” katanya dalam sidang media di IPD Sandakan, di sini, kelmarin.

Antara barangan lain yang dirampas termasuk jam tangan, telefon bimbit, dokumen diri, komputer riba, minuman keras, makanan ringan, ubat-ubatan, pakaian, kotak rokok serta satu peti wang tunai yang kosong.

Untuk rekod, kes rompakan pertama melibatkan kumpulan itu dilaporkan berlaku jam 4.30 pagi pada 24 Mei di Kedai Serbaneka 99 di Bandar Utama. Mereka kemudian sekali lagi merompak kedai sama kira-kira jam 3.45 pagi pada 23 Jun.

Kejadian rompakan seterusnya di Kedai Serbaneka 99 di Bandar Indah, dilaporkan berlaku jam 4 pagi pada 27 Jun. Ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sementara, kes pecah masuk kedai melibatkan Kedai Damo Mobile Solution di Bandar Tyng, dilaporkan berlaku di antara 2 dan 3 Jun lepas. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Rowell berkata, ketiga-tiga suspek kini sedang ditahan reman selama tujuh hari untuk soal siasat menyeluruh berikutan kemungkinan mereka terlibat dengan lain-lain kes di daerah ini dan juga seluruh negeri.