Rogol berkumpulan: Tiga lelaki kekal dipenjara 12 tahun, enam sebatan

0

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini kelmarin mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan rotan terhadap tiga lelaki tempatan atas kesalahan merogol berkumpulan.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Hen Cheong membuat keputusan itu terhadap Asman Apin, Julhijam Lokneh dan Kamaluddin Kassim selepas menolak rayuan balas daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

Asman yang diwakili peguam Hamid Ismail merayu atas hukuman dan sabit salah, manakala Timbalan Pendakwaraya Afzan Abd Kahar merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan mahkamah rendah ditingkatkan.

Mereka mula didakwa pada 4 Febuari 2009 dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan minta dibicarakan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan mereka dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 deposit RM2,000 yang dicagarkan oleh dua penjamin tempatan.

Namun, pada 1 Disember tahun lalu, Asman, Julhijam dan Kamaluddin dijatuhkan hukuman itu oleh hakim Mahkamah Sesyen M Rajalingam selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan itu.

Pada 1 hingga 2 Januari 2009 antara jam 11 malam hingga 2.30 pagi, di kawasan tepi pantai Menumpang, Kuala Penyu, mereka telah melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang berusia 17 tahun pada waktu kejadian.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (c) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.