Home - Utusan Borneo - Sukan - Sarawak buru kemenangan ‘hatrik’

Sarawak buru kemenangan ‘hatrik’

by Wan Ali Amit. Posted on July 3, 2012, Tuesday

Alberts mahu pemain manfaat peluang menentang T-Team malam ini
KUCHING: Kejayaan skuad Ngap Sayot mencatat dua kemenangan berharga dalam aksi Liga Super menentang Felda United dan Johor FC sebelum ini, harus dimanfaatkan dengan kemenangan ‘hatrik’ apabila melayan kunjungan T-Team (Terengganu) di Stadium Negeri, Petra Jaya malam ini (Selasa).

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata beliau cukup yakin anak-anak buahnya dalam ‘mood’ terbaik untuk melengkapkan kemenangan ‘hatrik’ malam ini.

“Saya percaya semua pemain akan memberikan komitmen tinggi serta memberi fokus terbaik dalam baki tiga perlawanan bagi membolehkan kita kekal dalam Liga Super musim depan,” demikian kata beliau.

Alberts berkata meskipun T-Team juga merupakan sebuah pasukan berstatus kelab seperti dua ‘mangsa’ mereka sebelum ini, namun beliau tidak mahu anak-anak buahnya memandang rendah keupayaan pasukan terbabit.

Beliau berharap semua pemain akan terus meningkatkan prestasi masing-masing untuk memburu kemenangan seterusnya.

“Saya yakin pemain-pemain kita akan mencurahkan segala kudrat mereka untuk mengutip lagi tiga mata penuh sebagai bekalan selesa untuk kekal dalam Liga Super musim depan.

“Saya percaya dengan semangat perjuangan tinggi serta sokongan padu penyokong setia, kita mampu beroleh kejayaan,” katanya.

Sarawak bakal menurunkan kesebelasan terbaik malam ini dengan gandingan mantap rangkaian penyerang, Zamri Morshidi dan Joel Epalle.

Zamri membuktikan sentuhannya apabila menjaringkan satu gol ketika pasukan Sarawak membenam Johor FC dengan 3-1 di laman sendiri (Stadium Negeri) malam Sabtu lalu.

Begitu juga dengan penyerang import dari Cameroon, Joel Epalle yang telah sembuh daripada kecederaan pangkal paha turut membuktikan kehebatannya apabila menjaringkan gol tunggal ketika Sarawak menang tipis 1-0 ke atas Felda United.

Alberts berkata gandingan Zamri-Epalle nampak menjadi dalam perlawanan menentang Johor FC Sabtu lalu dan beliau berharap kedua-dua penyerang itu mampu melakukan sesuatu yang terbaik malam ini.

Sehubungan itu, Alberts berharap para peminat dan penyokong setia pasukan Sarawak akan terus membanjiri Stadium Negeri malam ini untuk memberikan sokongan padu kepada skuadnya.

“Kami amat mengharapkan sokongan padu daripada penonton untuk menyemarakkan lagi semangat para pemain,” katanya.

Sarawak mempunyai tiga lagi baki perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini iaitu menentang T-Team (malam ini), menentang Selangor PKNS juga di laman sendiri pada 10 Julai.

Skuad Ngap Sayot akan menutup tirai Liga Super 2012 dengan bertandang ke Kota Bahru pada 14 Julai bagi menentang Kelantan.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.