Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Batal lesen kontraktor gagal patuhi peraturan

Batal lesen kontraktor gagal patuhi peraturan

Posted on July 4, 2012, Wednesday

KUCHING: Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang semalam menyarankan kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) agar menamatkan lesen operasi kontraktor mengangkut tanah yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Beliau berkata tindakan segelintir kontaktor berkenaan yang tidak bertanggungjawab menyebabkan penduduk di kawasan berhampiran berdepan jalan berlumpur serta keadaan berdebu setiap hari.

Menurutnya beberapa kawasan di bawah pentadbiran MPP telah menjadi mangsa kontraktor yang tidak bertanggungjawab seperti Lorong 8, Sungai Tapang, Kota Sentosa, Taman Sungai Moyan (Batu Kawa) dan Rose Garden di Jalan Stephen Yong.

“Kontraktor mengangkut tanah terbabit sangat tidak bertanggungjawab, mengangkut tanah dan menyebabkan permukaan jalan berlumpur serta berdebu sehingga menyebabkan penduduk sangat marah.

“Masalah ini sudah menjadi lumrah di kawasan Padawan (MPP)… oleh itu kali ini kita menyarankan kepada Jabatan Tanah dan Survei mengambil tindakan tegas kepada kontraktor terbabit,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Lorong 8, Sungai Tapang, Kota Sentosa dekat sini semalam.

Lo menambah, JTS sebagai agensi yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen harus membuat penguatkuatkuasaan.

Pada masa sama beliau mencadangkan agar palung disediakan di tapak projek untuk membersihkan tayar lori sebelum keluar ke jalan utama.

Beliau berkata JTS juga harus menghentikan lesen operasi kontraktor yang gagal menjelaskan deposit penyelenggaraan kepada pihak berkuasa tempatan dan dalam kes ini MPP.

“Saya meminta kepada JTS memastikan deposit penyelenggaraan jalan dijelaskan kepada PBT sebelum mengeluarkan lesen kepada kontraktor terbabit,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa kesalnya kerana sebelum ini kerjasama antara MPP, JTS dan Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Asli (NREB) dalam mengatasi masalah itu kurang memuaskan.

“Saya agak kecewa kerana aduan penduduk yang terjejas kepada pihak berkuasa tidak dilayan. Sebabnya ialah tiada kerja sama antara agensi bertanggungjawab.

“Saya berharap selepas pemeriksaan tapak hari ini (semalam) kita dapat bekerja sama dan menyelaraskan tugas atau peranan dalam kalangan kita… MPP, JTS dan NREB jika bekerja sama, tiada sebab masalah ini tidak dapat dikawal,” katanya.

Sementara itu penolong pegawai penguat kuasa JTS yang hadir sama melakukan pemeriksaan tapak semalam David Roy berkata, tindakan menghentikan lesen kontraktor berkenaan berdasarkan hasil siasatan tapak akan diserahkan kepada superintenden JTS.

“Hanya superintenden yang layak membuat keputusan dan pengesyoran akan dibuat berdasarkan pemeriksaan lapangan atau tapak,” jelasnya.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.