Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - Bomba akan tubuh unit udara di Sabah dan S’wak
Bomba akan tubuh unit udara di Sabah dan S’wak
Posted on July 4, 2012, Wednesday
MARANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menubuhkan unit udaranya di Sabah dan Sarawak secepat mungkin bagi melancarkan operasi menyelamat terutama di kawasan pedalaman memandangkan terdapat ke-kangan untuk saluran bantuan darat tiba ke destinasi dengan segera.
Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata kedua-dua negeri itu amat memerlukan perkhidmatan udara kerana kawasan hutannya yang bergunung-ganang dan luas serta sukar dilalui melalui jalan darat atau bot.
Bagaimanapun katanya, perkara itu masih dalam perancangan kerana pihaknya mempunyai sedikit halangan untuk mencari tapak dan lokasi yang sesuai untuk pembinaan dan meletakkan helikopter.
“Dengan wujudnya unit udara di Sabah dan Sarawak, ia akan melancarkan operasi menyelamat serta mengawal kebakaran serta memudahkan pergerakan anggota bomba penyelamat terutama di kawasan terpencil.
“Masyarakat di sana sering kali meminta pihak bomba meningkatkan perkhidmatan dan kita akui ia memang satu keperluan berdasarkan logistik yang luas, jarak yang jauh dari satu tempat ke satu tempat dan ia kadang-kadang menye-babkan kesukaran pihak kami bertindak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat jabatan dan anugerah perkhidmatan cemerlang JBPM di Akademi Bomba dan Penyelamat, Wakaf Tapai semalam.
Menurut Wan Mohd Nor, jika berlaku kebakaran hutan di daerah pedalaman dua buah negeri itu, pihaknya terpaksa meminta bantuan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menghantar anggotanya mengawal kebakaran.
“Kami terpaksa meminta bantuan TUDM kerana kami tidak mempuyai perkhidmatan udara dan jika TUDM mempunyai tugas lain, pihak kami terpaksa mencari alternatif lain,” katanya.
Setakat ini dua negeri telah mempunyai unit udara iaitu di Subang Jaya, Selangor dan Bertam, Pulau Pinang di mana ia dilengkapi dengan sebuah helikopter dan berperanan mengawal kebakaran terbuka yang berlaku.
“Kami juga berhasrat menubuhkan tambahan unit udara di Terengganu dan Johor untuk jangka masa panjang,” katanya.
Sementara itu Wan Mohd Nor berkata JBPM menyasarkan tempoh tujuh minit untuk bertindak menghadapi sebarang kejadian kecemasan mahupun bencana yang berlaku. — Bernama
<< Previous Entry - Next Entry >>
Advertisement





