Home - Utusan Borneo - Sukan - Liga Petronas Miri: PDRM hampiri kejuaraan

Liga Petronas Miri: PDRM hampiri kejuaraan

Posted on July 4, 2012, Wednesday

MIRI: Berbaki dua lagi perlawanan, pasukan PDRM menghampiri kejuaraan Liga Petronas Miri 2012 selepas selesa menduduki tangga teratas liga dengan 21 mata.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Miri (MiFA), Mohamad Saif Jubaidi berkata PDRM hanya perlu menghabiskan dua perlawanan terakhir sebelum mereka ditabalkan sebagai juara liga.

Pada perlawanan menentang Landas Ahad lalu, PDRM membenam pasukan itu dengan jaringan 4-0 seterusnya memastikan PDRM menduduki tangga teratas dalam kedudukan liga.

PDRM yang menang semua perlawanan tanpa kalah dilihat pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Petronas meskipun dicabar hebat pasukan FBSB FC.

Meskipun begitu, FBSB FC pula yang sekadar di kedudukan kedua liga dengan 16 mata dan masih berharap keajaiban berlaku menjelang dua perlawanan akhir.

Sementara itu, Saif menasihati semua pasukan agar menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan mengekalkan perpaduan meskipun bersaing dalam liga.

“Setiap pemain harus menunjukkan prestasi dan displin yang tinggi selaras dengan hasrat kita untuk melahirkan pemain yang bukan sahaja berbakat di padang tetapi juga berdisplin,” jelasnya.

Juara, naib juara dan tempat ketiga akan menerima wang tunai, piala dan pingat. Orang awam dipelawa menyaksikan dua baki perlawanan Liga Petronas sebagai sokongan terhadap pembangunan bola sepak tempatan.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.