Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - Pekebun kecil dibantu tanam semula kelapa sawit
Pekebun kecil dibantu tanam semula kelapa sawit
Posted on July 4, 2012, Wednesday
RAUB: Kerajaan komited memberi bantuan kepada pekebun kecil di seluruh negara untuk program tanaman semula kelapa sawit yang berusia lebih 25 tahun menerusi Skim Bantuan Tanaman Semula (BTS) Sawit.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainuddin berkata sehingga kini kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memperuntukkan lebih RM240 juta bagi tujuan tersebut.
Beliau berkata bantuan itu turut diberikan kepada peneroka tanah rancangan Felda dan peserta Felcra serta pekebun kecil yang berdaftar dengan MPOB.
“Pada asalnya MPOB hanya memberi peruntukan RM200 juta kepada mereka (pekebun kecil) yang membuat tanaman semula pada 2006 sehingga 2008 sahaja.
“Bagaimanapun kerajaan menambah peruntukan sebanyak RM40 juta setelah menimbang rayuan pekebun kecil yang membuat tanam semula sebelum 2006,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Insentif Tanaman Semula kepada 434 peneroka Felda Lembah Klau dan 87 peneroka Felda Tersang 1 di Dewan Orang Ramai Felda Lembah Klau di sini semalam.
Hamzah berkata MPOB akan memberikan bantuan tanaman semula sebanyak RM1,000 bagi setiap satu hektar kawasan kebun kelapa sawit dan bantuan itu diberi tidak melebihi empat hektar.
Katanya kerajaan turut membantu pekebun kecil yang hendak memulakan tanaman kelapa sawit menerusi Skim Bantuan Tanaman Baru (BTB) Sawit dengan bantuan RM7,000 bagi setiap kebun seluas satu hektar dan perlu mendaftar dengan MPOB.
“Sehubungan itu saya menyeru setiap pekebun kecil yang memiliki tanah persendirian kurang daripada 10 hektar, pekebun kecil berkelompok dan syarikat digalakkan menyertai skim tersebut.
“Pekebun kecil tidak perlu bimbang kerana harga sawit akan terus stabil dan mempunyai masa depan yang cerah berikutan permintaan yang sentiasa meningkat berikutan pertambahan penduduk dunia,” katanya.
Hamzah berkata walaupun Indonesia menjadi pesaing utama negara daripada segi keluasan tanaman sawit tetapi Malaysia masih merupakan pengeksport terbesar dunia dengan nilai RM80.20 bilion pada tahun lepas. — Bernama
<< Previous Entry - Next Entry >>



