Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Pelabur Jepun berpeluang cerah ceburi industri halal di HHTM
Pelabur Jepun berpeluang cerah ceburi industri halal di HHTM
Posted on July 4, 2012, Wednesday

DATANGLAH KE S’WAK: Taib menyampaikan cenderamata kepada Sasaki. Turut kelihatan Awang Tengah (tiga kiri), Sharuddin dan Ogawa.
KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata Hab Halal Tanjung Manis (HHTM) menyediakan peluang yang cerah kepada pelabur Jepun menceburi industri halal di negeri ini.
Menurutnya HHTM adalah destinasi pelaburan yang baik kerana ia dikenal pasti antara pusat pertumbuhan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) melibatkan kawasan seluas 77,000 hektar.
“Hab Halal Tanjung Manis, pusat halal terbesar di Malaysia adalah tempat yang paling sesuai untuk pelabur-pelabur Jepun menanam modal dalam industri halal,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sekali gus merasmikan Seminar Peluang-peluang Perniagaan dan Pelaburan di HHTM 2012 di Mitsubishi Corporation di Tokyo, Jepun, semalam.
Beliau menambah, Sarawak berhasrat menjadikan Tanjung Manis pusat industri halal terkemuka dengan kepelbagaian produk dan perkhidmatan halal di sana dan kerajaan sedia menawarkan kawasan tanah yang luas bagi tujuan pertanian serta akuakultur.
Seminar yang berjaya menarik kehadiran lebih 150 peserta terdiri daripada pelabur-pelabur Jepun komuniti perniagaan bertujuan memperkenalkan Sarawak kepada syarikat-syarikat Jepun dan peluang-peluang pelaburan yang ada di negeri ini terutama di kawasan pembangunan SCORE lebih-lebih lagi peluang pelaburan serta perniagaan di HHTM.
Ketua Menteri mengalu-alukan penyertaan syarikat Jepun menceburi industri pengeluaran makanan, farmaseutikal, keperluan hidup, sains kehidupan dan bioteknologi di Tanjung Manis.
Selain itu katanya Tanjung Manis menyediakan banyak peluang pelaburan dan per- niagaan dalam perladangan, akuakultur, penternakan, pemprosesan makanan, logistik dan perkhidmatan perkapalan, komestik dan produk penjagaan makanan serta produk ber- kaitan kelapa sawit.
Setakat ini katanya, HHTM telah menerima pelaburan daripada dua syarikat iaitu Pertanza Sdn Bhd berjumlah RM2.5 juta dan Sea Party Co Ltd berjumlah RM2 bilion.
Sea Party Technology Co Ltd, syarikat berasal dari Taiwan memfokus kepada industri akuakultur seperti penternakan ikan tilipia dan udang, penanaman chorella serta penyelidikan dan pembangunan akuakultur.
Manakala Pertanza Sdn Bhd, syarikat tempatan yang memfokus kepada penternakan ikan keli dalam kanvas, pengeluaran produk makanan berasaskan ikan keli dan membekal ikan keli beku.
Taib yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar berkata nilai pasaran global untuk produk makanan halal dianggarkan AS$547 bilion setahun manakala pasaran tukar beli makanan halal dengan produk bukan halal ialah AS$2.1 trilion setahun.
“Saya percaya syarikat-syarikat Jepun sedia maklum mengenai perkara ini dan sanggup melabur dalam pengeluaran produk halal dan merebut peluang daripada pasaran sebesar ini,” katanya.
Menyentuh mengenai infrastruktur, Taib memberi jaminan bahawa kerajaan negeri telah memulakan proses membangunkan infrastruktur-infrastruktur utama bagi pembangunan industri halal peringkat huluan dan hiliran di Tanjung Manis.
Beliau menambah, bagi memastikan industri halal berkembang mengikut syariah Islam, negara memperkuhuhkan sistem kewangan Islam kerana sistem kewangan Islam sangat penting bagi memastikan industri halal mematuhi semua piawaian halal yang ditetapkan.
Malaysia tambahnya ternyata telah membangun sebagai peneraju dalam kewangan Islam dan untuk produk halal kerajaan memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai satu-satunya pihaknya menguruskan pensijilan halal.
Menurutnya setakat ini JAKIM telah mengiktiraf 57 badan pensijilan halal di 31 negara termasuk Jepun iaitu Persatuan Muslin Jepun di Tokyo.
“Kami sentiasa mesra pelabur. Kami boleh menawarkan banyak kemudahan tambahan seperti insentif cukai yang menarik disediakan oleh kerajaan Malaysia menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Malaysia menawarkan banyak insentif untuk industri hijau dan halal serta yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti pengeluaran,” jelasnya.
Hadir pada seminar itu, Pengerusi Jameca dan Penasihat Kanan Lembaga Perbadanan Mitsubishi Mikio Sasaki, Ketua Pengarah Persatuan Jepun-Malaysia Takakazu Ogawa, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Duta Malaysia ke Jepun Datuk Shaharuddin Md Som.
Turut hadir Penasihat di Jabatan Ketua Menteri Tan Sri Rastam Mohd Isa, Penasihat Unit Pembangunan Tenaga Kerja Sarawak Tan Sri Hassan Marican, Menteri Muda–menteri Muda Datuk Mohd Naroden Majais, Datu Len Talif Salleh dan Julaihi Narawi serta Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datu Sudarsono Osman.
<< Previous Entry - Next Entry >>



