Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - PUSPAKOM peruntukkan RM1.2j untuk sedia perkhidmatan PMI
PUSPAKOM peruntukkan RM1.2j untuk sedia perkhidmatan PMI
Posted on July 4, 2012, Wednesday
ALOR GAJAH: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) memperuntukkan RM1.2 juta bagi menyediakan perkhidmatan Pemeriksaan Bergerak Premier (PMI) di seluruh negara.
Ketua Operasinya, Ooi Win Juat berkata perkhidmatan tersebut membolehkan pemilik kenderaan mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan berkomputer secara bergerak ke lokasi pilihan.
Beliau berkata perkhidmatan yang disediakan PMI melibatkan pemeriksaan fizikal kenderaan ringan iaitu pemeriksaan identiti kenderaan termasuk nombor enjin dan nombor casis, tukar hak milik serta pemeriksaan lelong kenderaan.
“Pelanggan yang mahu menggunakan perkhidmatan ini tidak perlu beratur panjang di cawangan Puspakom tetapi hanya perlu menghubungi kami,” katanya kepada pemberita ketika memperkenalkan perkhidmatan van PMI kepada pihak media di sini semalam.
Perkhidmatan PMI mula beroperasi di Melaka bermula semalam selepas mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan di negeri itu.
Ooi berkata caj pemeriksaan bermula antara RM20 hingga RM50 selain caj perkhidmatan ditetapkan RM100 bagi kereta dan RM50 bagi motosikal.
Katanya sembilan van bagi perkhidmatan tersebut telah beroperasi sejak ia diperkenalkan pada tahun 2008 dengan enam daripadanya di sekitar Lembah Klang dan Selangor manakala masing-masing satu di Pulau Pinang, Johor Baharu dan Melaka.
Waktu operasi van PMI bermula pada 9 pagi hingga 5 petang setiap Isnin hingga Jumaat dan pelanggan yang berminat menggunakan perkhidmatan tersebut boleh menghubungi talian bebas tol 1800-222-210, katanya. — Bernama
<< Previous Entry - Next Entry >>



