Home - Utusan Borneo - Sukan - Skuad bola sepak Sukma tak takut dalam kumpulan maut
Skuad bola sepak Sukma tak takut dalam kumpulan maut
Posted on July 4, 2012, Wednesday
KUCHING: Skuad bola sepak Sukma Sarawak tidak gentar berdepan dengan mana-mana pasukan apabila acara tersebut bermula hari ini (Rabu).
Pengurus pasukan, Haidel Heli berkata walaupun berada dalam ‘kumpulan maut’ bersama-sama dengan tuan rumah Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu, Sarawak tetap yakin untuk mencipta kejutan di Kuantan.
Ketika dihubungi dari Kuantan semalam, Haidel menjelaskan bahawa anak-anak buahnya cukup bersedia untuk memulakan perlawanan pertama petang ini.
“Berdasarkan prestasi skuad semasa latihan dan persiapan intensif yang telah dilakukan, tidak mustahil untuk kita mencipta kemenangan,” jelas Haidel.
“Pemain-pemain telah menunjukkan perubahan mendadak dalam permainan mereka setelah mendapat bimbingan daripada jurulatih Alan Vest dan Mike Leigh.
“Walau bagaimanapun, kita tidak harus memandang rendah keupayaan pihak lawan lebih-lebih lagi juara bertahan Terengganu yang pastinya mahu mempertahankan kejuaraan mereka dalam acara ini.”
Sarawak akan menentang Pulau Pinang di Padang MPK 1 pada jam 4.45 petang ini.
Mereka kemudiannya akan menentang Terengganu pada 6 Julai dan Pahang pada 8 Julai di Stadium Darul Makmur.
<< Previous Entry - Next Entry >>
Advertisement





