Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - DiGi perluas manfaat telekomunikasi, Internet
DiGi perluas manfaat telekomunikasi, Internet
Posted on July 7, 2012, Saturday
Oleh Agnes Tugong
KUCHING: DiGi Telecommunication Sdn Bhd mempergiatkan usaha untuk memperluaskan manfaat telekomunikasi dan Internet kepada semua rakyat melalui pendekatan tanggungjawab korporat.
Sebagai antara syarikat telekomunikasi terkemuka dalam negara, DiGi menurut Ketua Pengurusan Persekitaran Perniagaannya Sumitra Nair, bertanggungjawab memberi inspirasi kepada masyarakat amnya belia untuk memanfaatkan peluang-peluang Internet.
Bagi tujuan itu, DiGi kata-nya, melancarkan program ‘DiGi Challenge for Change’ untuk menarik penglibatan belia dalam program yang boleh mengubah dan memanfaat masyarakat.
“Di bawah program ini DiGi menyediakan peluang kepada kumpulan anak-anak muda terutama dalam kalangan pelajar universiti untuk tampil dengan projek yang mana hasilnya boleh disumbangkan semula kepada masyarakat.
“Menggunakan manfaat Internet sepenuhnya, projek-projek yang dihasilkan ini bukan sahaja harus mampu memberi impak yang besar kepada belia dan yang lebih utama masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, ‘DiGi Challenge for Change’ yang telah dilancarkan pada tahun 2009, kini memasuki penganjuran tahun ketiga dan menyaksikan 13 finalis daripada 23 peserta melibatkan pelbagai universiti dari seluruh negara bersaing untuk projek terbaik.
Antara finalis yang tampil dengan projek menarik serta muncul sebagai pemenang di tempat kedua cabaran ini ialah pelajar kejuruteraan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Adruce Azman yang menggelarkan kumpulannya sebagai Sonar Tribal.
Memanfaatkan sepenuhnya peluang Internet percuma dari DiGi secara percuma untuk tempoh tiga bulan, Sonar Tribal melakukan rakaman dan gubahan ke atas muzik tradisional suku-suku kaum di Sarawak bagi tujuan pemuliharaan.
Di bawah projek ini, Sonar Tribal cuba untuk menyemai kesedaran di kalangan masyarakat amnya suku-suku kaum yang ada di negeri ini untuk menghargai keindahan dan keunikan warisan muzik-muzik tradisional serta nilai potensinya kepada masyarakat.
Menurut Adruce, di bawah cabaran ini, Sonar Tribal telah berjaya menerbitkan enam susunan muzik dan sebuah dokumentari dengan durasi 10 minit yang mana album pertama ini telah menembusi pasaran dengan jayanya.
Sonar Tribal menurut Adruce juga berjaya menarik minat Lembaga Pelancongan Sarawak untuk kerjasama dalam menghasilkan muzik tradisional yang lebih kontemporari dan moden tetapi mengekalkan keaslian iramanya.
“Perkara penting yang cuba saya kongsikan di sini ialah, teknologi Internet merupakan platform yang paling mudah untuk masyarakat terutamanya golongan belia merealisasikan impian dan menyumbangkan semula ke-pada masyarakat.
“Apa yang penting, kita harus yakin dengan diri sen-diri dan gunakan peluang-peluang yang ada amnya Internet untuk perkara-perkara yang memanfaatkan,” katanya dalam sesi temu bual khas di Pejabat DiGi, Tingkat 21, Bangunan Gateway di sini semalam.
Turut hadir pada temu bual tersebut Ketua Unit Latihan CICTS UNIMAS merangkap mentor Sonar Tribal, Maclean Patrick dan Ketua Pengurusan DiGi Wilayah Sarawak Wee Hong Guep.
<< Previous Entry - Next Entry >>



