Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Usahawan industri halal digesa patuhi Piawaian Halal Malaysia baharu
Usahawan industri halal digesa patuhi Piawaian Halal Malaysia baharu
Posted on July 9, 2012, Monday

JAGA KEBERSIHAN DIRI: Fadillah (dua kanan) menunjukkan cara yang betul mencuci tangan kepada kanak-kanak prasekolah bagi mencegah penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kuching semalam.
KUCHING: Usahawan industri berasaskan halal digesa mematuhi Piawaian Halal Malaysia yang baharu oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam menggalakkan penjualan produk masing-masing.
“Konteks halal itu termasuk dalam cara penanaman, cara penyediaan dan proses akhir pengedaran dilakukan secara bersih dan mematuhi aspek kesihatan untuk apa sahaja barang termasuk barang kosmetik, pengangkutan, makanan, minuman dan sebagainya,” kata Timbalan Menterinya Datuk Fadillah Yusof semalam.
Tambahnya, standard halal Malaysia itu kini juga dalam rancangan untuk diguna pakai oleh negara China dalam menambah nilai pengeksportannya ke negara luar.
Beliau berkata demikian ketika menganjurkan ‘Makanan Sihat Mini Karnival’ oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Kampung Kudei Lama bersama penduduk kampung dan kawasan sekitarnya.
Sementara itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya juga mengingatkan penduduk di kawasan tersebut yang rata-ratanya beragama Islam agar mengamalkan pemakanan yang bersih, seimbang dan sihat mengikut hukum Islam.
Katanya melalui tabiat pemakanan yang halal, bersih dan seimbang maka sihatlah rakyat di dunia dan akhirat di samping membanteras masalah penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi.
“Kesedaran mengamalkan cara pemakanan yang sihat penting bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi keturunan kita agar sentiasa suci dan bersih,” jelasnya.
Pada masa yang sama beliau turut menyertai demonstrasi membasuh tangan yang betul bersama kanak-kanak di kampung terbabit.
Fadillah turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada peserta dan hadiah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak yang dimenangi oleh Mohd Fikri Matullah Syawal (johan), Mohd Amir Rafiq (naib johan) dan Dayang Noramira Nadjwa (tempat ketiga).
<< Previous Entry - Next Entry >>



