Jangan terlalu sensasikan berita hingga menyalahi fakta sebenar: Hamza

0

KOTA KINABALU: Media di sini diminta tidak terlalu mensensasikan sesuatu berita sehingga melaporkan berita yang menyalahi fakta sebenar.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata perkara itu perlu diberi perhatian bagi memastikan setiap berita yang disiarkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara khususnya di negeri ini.

Menurutnya, sudah menjadi trend sejak akhir-akhir ini di mana berita yang dikeluarkan tidak tepat dari segi fakta.

“Jadi saya berharap kalau ada fakta tidak betul kita perbetulkan dan polis akan terus memberi kerjasama,” katanya.

Kata Hamza, penyaluran maklumat tepat merupakan elemen penting bagi memastikan impak kesan negatif tidak berlaku di kalangan masyarakat seterusnya keselamatan negara.

Jelas beliau lagi, polis mempunyai Prestasi Petunjuk Utama (KPI) yang ditetapkan bagi memastikan jenayah di negara ini sentiasa terkawal.

“Segala pendekatan yang dilakukan pihak polis juga telah berjaya memastikan keselamatan negara berada di tahap terbaik.

“Oleh itu, saya minta agar media memberikan berita yang tidak menyalahi fakta sebenar kepada umum kerana bimbang memberikan impak negatif kepada masyarakat,” katanya.

Hamza berkata demikian bersempena majlis dialog bersama media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Kinabalu kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang dan ketua-ketua polis daerah di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau berkata polis dan media mempunyai peranan masing-masing dan sentiasa memerlukan antara satu sama lain.

Justeru, beliau berharap kerjasama yang baik antara polis dan media di negeri ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.