Kaedah terbaharu kecurian elektrik berjaya dibongkar

0

KUCHING: Kaedah terbaharu kecurian elektrik menerusi paku berjaya dibongkar oleh Syarikat SESCo Berhad (SESCo) ketika operasi pemeriksaan meter di kawasan perumahan Semariang di sini baru-baru ini.

Menurut kenyataan akhbar semalam, satu daripada sistem pendawaian meter rumah didapati disambung secara haram menggunakan paku sebelum meter SESCo.

“Tindakan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mencetuskan percikan elektrik serta kebakaran ke atas harta,” jelas kenyataan tersebut.

Seramai 60 ahli teknikal dan pembantu polis terlibat dalam pemeriksaan meter berkenaan.

Daripada 745 meter yang diperiksa, 18 peratus daripadanya didapati mencurigakan.

Berikutan jumlah yang agak membimbangkan, SESCo akan meneruskan operasi pemeriksaan meter di kawasan berkenaan secara kerap terutama rumah-rumah yang pagar berkunci.

Selain mengenal pasti pencuri tenaga, ahli-ahli teknikal turut menyemak keadaan pendawaian meter untuk memastikan ia selamat digunakan.

Dalam kes berasingan di Sarikei, SESCo mendapati penyambungan haram kabel secara terus dari pendawaian utama SESCo kepada unit pendingin hawa dalam bilik tidur utama.

Susulan itu, SESCo menggesa orang ramai agar tidak mempercayai penyedia perkhidmatan yang tidak sah atau mana-mana individu yang mengaku adalah wakil daripada SESCo yang menawarkan elektrik dengan yuran tertentu.

Mencuri elektrik boleh didakwa di bawah Seksyen 33 (5), Ordinan Elektrik dan denda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Sebarang maklumat atau kecurigaan boleh hubungi SESCO di talian 082-443535.