12 lagi KR1M akan dibina di seluruh Sarawak

0

TERBAIK: Ismail (kanan) dan Rohani (tengah) menunjukkan produk 1Malaysia yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

KUCHING: Sebanyak 12 lagi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) akan dibina di seluruh Sarawak susulan pembukaan premis pertama di Batu 12, Jalan Kuching-Serian yang dirasmikan semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Ke-penggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merasmikannya semalam berkata, permohonan kini sedang diproses dan sedang mengenal pasti tapak premis.

“Kalau boleh kami mahu buka di kawasan jauh dari kedai runcit sedia ada agar tidak berlaku persaingan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) Kota Padawan di sini, semalam.

Menurutnya, lebih ba-nyak KR1M akan dibina di Sarawak bagi membolehkan setiap bahagian negeri ini memiliki premis runcit ber-kenaan.

“Saya mahu setiap bahagian negeri ini mempunyai sebuah KR1M.

“Sekarang terdapat 47 KR1M di seluruh negara dan kami akan mewujudkan 85 premis menjelang hujung tahun ini,” ujarnya.

Ismail menambah, KR1M mempunyai tiga model utama merangkumi kedai diurus Mydin, produk dibeli secara borong untuk dijual runcit dan diusahakan individu atau syarikat.

“Terdapat 39 premis KR1M model tiga di seluruh negara termasuk 12 di Sarawak,” jelasnya.

Ditanya kemungkinan KR1M diwujudkan di kawasan rumah panjang, beliau menjelaskan, agak sukar untuk mengusahakannya terutama dari segi logistik dan saiz pasaran.

“Kalau di rumah panjang saya cadangkan beli produk.

“Tidak mungkin kita boleh buka di rumah panjang ter-utama dari segi logistik dan saiz pasaran yang tidak mampu bertahan lama,” kata Ismail.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman serta Pengarah Urusan MRT Retail Sdn Bhd Datuk Ameer Ali Mydin.